Piagam Madinah ditulis ketika wahyu al-Quran masih diturunkan dan
piagam itu menjadi dasar pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah dalam
perjanjian atau kontrak sosial dibuat Baginda kepada sesiapa yang mahu
menerimanya.
Perjanjian dibuat Rasulullah SAW di Madinah itu adalah hasil
kesepakatan masyarakat pelbagai bangsa terdiri daripada suku Arab Islam,
Arab Kafir dan Yahudi dalam perkara membabitkan corak pemerintahan,
hubungan, hak dan tanggungjawab setiap kaum yang menjadi warga Kota
Madinah.
Ini termasuk hak asasi dan kebebasan beragama untuk semua serta
tanggungjawab negara terhadap warga negara bukan Islam selagi mereka
menunjukkan taat setia. Kesatuan penduduk di Madinah memperlihatkan
orang Yahudi juga dianggap ummah bersama masyarakat Islam.
Keunikan Piagam Madinah
Pada masa sama, semua pihak berkewajipan untuk melaksanakan
perdamaian. Berdasarkan inti pati Piagam Madinah, negara Islam ketika
itu telah memperlihatkan sikap toleransi, mementingkan peranan,
tanggungjawab dan nilai murni dalam perpaduan ummah.
Itulah keunikan Piagam Madinah dan walaupun tidak dijelaskan secara
terperinci oleh Presiden Parti Hims Algeria, Dr Abd Razzaq Moqri,
tetapi menyebut mengenai penubuhan negara berasaskan kontrak sosial
seperti dibuat Rasulullah SAW itu cukup untuk mengajak kita membuat
penilaian yang wajar.
Perjanjian itu dijelaskan Baginda kepada warga Madinah yang mahu
menerimanya dan sebagai warga negara mereka bertanggungjawab menjaga
kedaulatan negara melalui semangat bantu membantu termasuk
mempertahankan negara daripada serangan musuh.
"Kontrak itu menjamin hak kumpulan minoriti kerana sebagai satu
ummah, mereka mempunyai hak yang sama dengan orang Islam. Apabila ada
yang hendak menyerang, tidak kira apa bangsa termasuk Yahudi, semua
bertanggungjawab mempertahankan Madinah.
"Rasulullah SAW tidak paksa orang masuk Islam, tetapi Baginda
mengajak orang kepada Islam. Pemerintah negara Islam tidak boleh paksa
orang jadi Islamik tetapi patut mengislamkan masyarakat melalui dakwah,
bukan secara paksaan," katanya.
Katanya, apabila sesebuah negara yang rakyatnya majoriti Islam,
negara itu dianggap sebagai negara Islam, tetapi jika rakyatnya
berbilang bangsa, negara perlu memenuhi keperluan semua rakyatnya.
Justeru, pemerintah perlu menjelaskan dan menyebarkan dasar negara.
Beliau menjelaskan perkara itu dalam pembentangan kertas kerja
bertajuk Negara Madani, Idea Sekular atau Global pada Sidang Kemuncak
Kuala Lumpur 2014 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Landasan bertukar pandangan
Sidang kemuncak selama tiga hari bertemakan Negara Madani dan
Perspektif Islam itu anjuran bersama Yayasan Malaysia-Turki (MTF),
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pusat Hubungan Arab-Turki (TAIM).
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 menjadi landasan kepada intelektual
Muslim untuk bertukar pandangan, mengembang idea selain mengenal pasti
realiti seterusnya membentuk dasar serta perancangan membabitkan isu
kebebasan, keadilan dan kepemimpinan yang dihadapi masyarakat Islam.
Dr Abd Razzaq Maqri (kiri), Presiden Parti Hims Algeria dan Dr Muhammad Yusri (kanan), Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Mesir. |
Ini termasuk menjelaskan kepada rakyat kenapa sesuatu tindakan yang
mungkin dilihat tidak sepatutnya diambil terpaksa dilakukan seperti
melepaskan beberapa peraturan tidak sesuai pada sesuatu keadaan kerana
terdapat banyak dalil yang menyokong tindakan diambil dalam keadaan
tertentu.
"Negara boleh buat perubahan dan pembaharuan selagi tidak
bertentangan dengan agama. Begitu juga dengan konsep Negara Madani, jika
ada perkara positif yang boleh diambil maka tidak timbul masalah. Ini
pernah dilakukan pada zaman Rasulullah," katanya.
Idea Negara Madani
Idea Negara Madani sebenarnya tidak popular dalam kalangan negara
Arab, tetapi menjadi perbahasan apabila terma itu mendapat perhatian dan
semakin popular selepas insiden Kebangkitan Arab yang melanda beberapa
negara Islam.
Negara Madani direka oleh pihak yang ada kepentingan untuk
mengeksploitasi situasi yang berlaku di negara bergolak supaya keadaan
sama ada berterusan begitu atau mengikut kepada apa yang mereka
hajatkan.
Hakikatnya, apa juga definisi Negara Madani ia tidak mampu memenuhi
keperluan semua kerana pembinaan sebuah negara bangsa tidak sama
mengikut kepada masyarakat, budaya, keperluan serta corak
pemerintahannya.
Seperti penjelasan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Mesir, Dr
Muhammad Yusri, politik yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam
setelah merujuk kepada dalil wahyu adalah Islamik dan termasuk dalam
politik Islam.
Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Analisis Terhadap
Negara Madani dari Pandangan Islam' berkata, ada dasar yang mengikut
Islam dan ada yang boleh berubah untuk disesuaikan dengan keadaan pada
zaman itu.
"Politik Islam bertujuan menyelesaikan masalah orang ramai dan ia
berjaya dilaksanakan pada masa lalu. Jadi kenapa sekarang kita kata
tidak boleh. Ada juga undang-undang yang dibuat diterima ulama kerana
tidak bersalahan dengan ajaran agama," katanya.
Katanya, masalah sekarang ialah konsep Negara Madani yang
diperkenalkan memisahkan agama daripada politik, bersifat agresif dan
meletakkan kuasa secara mutlak kepada rakyat untuk menentukan
pemerintah.
Sedangkan politik Islam mementingkan keadilan, mengamalkan syura
dan berjihad mempertahankan hak rakyat. Sementara rakyat pula perlu taat
kepada pemerintah yang melindungi mereka.
Justeru katanya, agama perlu dikembalikan dalam pemerintahan dan
urusan negara melalui Islamisasi Negara Madani mengikut kepada ajaran
Islam yang memberi perhatian kepada keperluan rakyat, mengambil semua
pendekatan yang membawa kejayaan dengan melakukan perubahan secara
berperingkat.
Info: Piagam Madinah
* Ditulis ketika wahyu al-Quran masih diturunkan.
* Jadi dasar pemerintahan Rasulullah di Madinah.
* Perjanjian dibuat Rasulullah SAW hasil kesepakatan pelbagai bangsa terdiri daripada suku Arab Islam, Arab Kafir dan Yahudi.
Masyarakat majmuk di Malaysia bukan penghalang ke arah membentuk Negara Madani. - Gambar hiasan |