Masih isu perlawanan bola sepak kontroversi antara Malaysia menentang Vietnam pada pusingan separuh akhir pertama yang berakhir dengan kekecohan penonton kerana merusuh, semalam.
Akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang
berlagak ‘samseng’ dan mencederakan penyokong pihak lawan, kini situasi
sama dikhuatiri bakal dialami penyokong Malaysia yang bakal ke Stadium
My Dinh, Hanoi untuk aksi timbal balik pada separuh akhir kedua Piala
AFF Suzuki 2014.
Melalui beberapa ‘posting’ di laman sosial, ada individu yang membuat
ugutan dengan menulis serta meletakkan foto senjata bagi menakutkan
para penyokong skuad Harimau Malaya apabila datang ke Vietnam kelak.
Situasi tersebut tidak seharusnya dipandang enteng oleh pihak-pihak
berwajib, antaranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga pihak
keselamatan Vietnam.
Walaupun ia hanya ugutan melalui medium laman sosial, tak mustahil
ada penonton yang membawa masuk senjata tersebut bagi melunaskan dendam
terhadap penyokong Malaysia.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini tak terfikir pula apa
boleh jadi pada penyokong kita yang akan pergi ke Hanoi, Vietnam untuk
perlawanan kedua.
"Bukankah tindakan mereka ini boleh dianggap sebagai
satu provokasi dan mengundang risiko keselamatan terhadap
penyokong-penyokong Malaysia di Hanoi nanti”
Pandangan di atas yang diluahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin tentang kegusarannya bagi aksi timbal balik kelak nyata
berasas!
Bila melibatkan soal nyawa, pihak bertanggungjawab perlulah
menggandakan kawalan dan sekatan terutama ketika penonton hendak masuk
ke dalam stadium.
Buat individu ‘kurang cerdik’ yang menimbulkan huru-hara di Stadium
Shah Alam, inilah akibatnya kalau bertindak melulu tanpa berfikir.