KUALA LUMPUR – Semenjak banjir teruk melanda beberapa negeri
sepanjang minggu ini, media sosial dilimpahi pelbagai informasi, gambar
dan visual banjir yang kebanyakannya tertumpu di Pantai Timur
semenanjung dengan tema ‘Pray For Pantai Timur’ (doa untuk Pantai
Timur).
Selain penggunaan hashtag #PrayForPantaiTimur, hashtag #Banjir,
#Banjir2014, #PrayForKelantan, #PrayForTerengganu, dan @banjir menjadi
tumpuan pengguna Internet dalam berkongsi maklumat di laman sosial
Instagram, Facebook dan Twitter.
Media sosial Whatsapp juga menjadi pusat penyebaran maklumat terkini
mengenai banjir termasuk maklumat jalan ditutup, keadaan semasa banjir,
laluan yang selamat, kejadian tanah runtuh dan pelbagai maklumat
mengenai banjir kepada pengguna Internet.
Pada 14 Okt lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek dilapor memaklumkan negara mempunyai 19.2 juta pengguna
Internet.
Keadaan banjir hari ini dilaporkan bertambah serius menyebabkan lebih
60,000 penduduk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis dan
Sabah terpaksa berpindah.
Untuk perkongsian maklumat terkini, pengguna Internet boleh
mendapatkan perkembangan terkini melalui Twitter, Facebook dan Instagram
dengan menekan hashtag #infobanjir, #MetMalaysia, #infocuaca@ibanjir
dan @banjirJKM.
Pengguna juga boleh melayari laman web agensi kerajaan dan kerajaan
negeri untuk mendapatkan status terkini banjir seperti
portalbencana.mkn.gov.my; dan http://bencanaalam.jkr.gov.my/.
Portal kerajaan negeri yang terlibat dengan banjir ialah ebanjir.kelantan.gov.my; dan etindakan.terengganu.gov.my.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi maklumat mengenai
perkembangan banjir dan operasi membantu mangsa banjir di negeri-negeri
terlibat di laman Twitternya @PDRMsia dan Facebook di INFO BANJIR 2014.
PDRM turut menyiarkan nombor telefon bilik gerakan banjir bagi
negeri-negeri terlibat antaranya Pahang (09-5134626), Kelantan
(09-7471608), Terengganu (09-6354743) dan Perak (05-2451119). – BERNAMA