Gara-gara mahu cepat kerana terlalu memikirkan ceramah di Kuala
Kangsar, pendakwah Pencetus Ummah (PU), Mohd Zainudin Mohamed Zaini atau
PU Yeop hampir kehilangan anak di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat
& Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun, Kedah, Ahad
lalu.
Semuanya kerana dia terlupa, salah seorang anaknya tiada dalam kereta
sebaik sahaja memecut meninggalkan kawasan R&R tersebut!
Anaknya Muhammad Iskandar Zulqarnain, 8, sebelum itu mengadu sakit
perut dan hendak buang air lalu pergi ke tandas di stesen minyak
tersebut.
Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, PU Yeop terlupa pula anaknya
itu masih belum masuk ke dalam kereta lalu dia meneruskan perjalanan
hingga sampai ke rumah di Simpang, Taiping.
Ketika itu baharulah dia menyedari, salah seorang daripada enam anaknya tiada bersama.
Memandangkan tempoh perjalanan dari Taiping Ke Gurun mengambil masa
dua jam, ditambah pula dengan ceramah yang perlu dihadirinya, PU Yeop
menghubungi pihak polis dan PLUS bagi membantu mencari anaknya.
Pengumuman di Facebook turut dibuat agar dengan harapan anaknya dapat ditemui.
Mujurlah ada satu keluarga yang baik hati, menemui anak Yeop di
stesen minyak tersebut lalu menghantar Muhammad Iskandar ke rumahnya
pada hari yang sama.
Ketika itu, keluarga tersebut dalam perjalanan dari Changlun, Kedah
ke rumah saudara mereka di Bagan Serai untuk menghadiri kenduri.
Bagi PU Yeop, kejadian ini dianggapnya sebagai ujian Allah S.W.T dan peringatan buat dirinya agar tidak leka pada masa akan datang.
Sumber: Mynewshub.cc