Pulau Pinang yang dulu terkenal sebagai salah satu pusat pelancongan utama negara kini dilaporkan telah tercemar dan telah bertukar menjadi hub sehenti bagi kegiatan pelacuran di zon utara semenanjung.
Sebelum ini, ramai tidak percaya apabila didedahkan tentang pulau yang kini dihuni majoriti kaum Cina itu menjadi sarang maksiat dan aktiviti tidak bermoral, khususnya selepas negeri itu tidak lagi ditadbir Barisan Nasional.
Mungkin dulu ada cubaan untuk mencemar Pulau Mutiara itu dengan aktiviti maksiat oleh pihak-pihak tertentu, namun ia dilihat berjaya dikekang ekoran aduan, bantahan dan gesaan dari UMNO yang mahu Ketua Menteri Pulau Pinang bertindak mengatasi masalah kegiatan haram itu.
Namun hari ini, Pulau Pinang sudah bertukar wajah dan mungkin wajar dilabel sebagai " pulau mini Thailand"
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman, industri seks di Pulau Pinang semakin pesat membangun dengan kebanjiran jumlah "pekerja-pekerja seks" yang sangat ketara berbanding sebelumnya.
Dipetik dari sebuah laman web berbahasa Cina, Basri dalam satu kenyataan mendakwa jumlah pelacur yang memasuki pulau itu telah meningkat dengan agak ketara berbanding tahun lepas.
“Kebanyakan warga asing yang masuk ke negara Malaysia hanya menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar .
"Namun di sebalik pas itu, mereka akan bekerja di tempat-tempat seperti kelab malam, pusat karaoke, hotel dan juga rumah urut.
"Banyak kumpulan-kumpulan haram terlibat dalam perdagangan seks ini," kata pegawai yang bertungkus-lumus, cuba membersihkan pulau itu dari kegiatan haram dan tidak bermoral.
Menurut Basri lagi, banyak premis yang dikenal pasti terlibat dalam industri pelacuran itu telah diubah suai secara "khas".
Katanya, dipercayai terdapat laluan rahsia atau "laluan tikus" bagi mengelakkan pelacur-pelacur ditangkap dan sebagai "jalan selamat" bagi membolehkan para pelanggan menyelamatkan diri daripada serbuan atau sewaktu mereka keluar masuk premis berkenaan.
Pegawai Imigresen itu mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 200 kawasan "panas" yang menawarkan perkhidmatan seks di Pulau Pinang dan antara yang didedahkannya ialah sekitar Upper Penang Road, Chulia Street, Muntri Street, Love Lane dan Batu Feringgi.
Selain itu, modus operandi pelacur kelas atasan yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral di negeri itu juga diterbangkan khas dari Vietnam, Filipina, Thailand dan China.
Katanya, permintaan bagi mendapatkan khidmat seks gadis dari keempat-empat negara itu menduduki ranking teratas permintaan dari pelanggan.
Menurut laporan dari sumber yang sama, salah seorang "tauke" dan "ibu ayam", Dung (bukan nama sebenar) berkata, dia akan membawa beberapa gadis Vietnam ke Pulau Pinang pada setiap enam bulan.
"Untuk memenuhi keperluan dan kepuasan pelanggan saya, saya juga turut menghantar mereka ke kelas kursus-kursus bahasa supaya mereka dapat berkomunikasi dengan lebih baik sebelum diberikan kepada pelanggan," kata Cik Dung.
Dung dilapor mengenakan caj antara RM200 hingga RM1,600 untuk satu sesi bagi seorang pelacur dari Vietnam. Katanya, kadar caj setinggi itu dikenakan kerana gadis-gadis Vietnam sangat digemari dan dikatakan pandai melayan pelanggan.
Basri dalam pada itu sempat menambah dengan berkata mereka yang bersalah akan didakwa di bawah Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya. -KedahNews.com