Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony
Fernandes, beliau enggan membuat sebarang spekulasi berkenaan tragedi
pesawat milik AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas dan menyerahkan
kepada siasatan terperinci untuk mendedahkan punca sebenar.
“Biarkan kotak hitam mendedahkan jawapannya. Siasatan lanjut
akan terus dibuat sejurus selepas kami menemui kedudukan kotak hitam. Ia
sangat tidak sesuai untuk saya membuat sebarang telahan.”
Disogok dengan persoalan tentang ganti rugi terhadap keluarga
penumpang pesawat, Tony berkata, ia bakal diputuskan setelah siasatan
selesai.
“Ya, tapi biarlah siasatan selesai dijalankan. Kami akan melakukannya, namun, perlukan bantuan pembantu kewangan secepat mungkin,” ujarnya dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Juanda di Surabaya.
Beliau juga menyifatkan tragedi tersebut sebagai ‘mimpi terburuk’
yang pernah dialaminya sepanjang 13 tahun berkecimpung dalam industri
penerbangan, namun dia berjanji tidak akan lari dari tanggungjawabnya.
“Operasi akan diteruskan seperti biasa. Indonesia telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Saya merupakan ketua kepada syarikat ini dan saya tidak akan
lari dari mana-mana tanggungjawab. Saya seorang yang terbuka, dan akan
menjadi sejujurnya dalam isu ini.”
Dalam pada itu, hari ini (Rabu), Tony berkata, dia akan membuat
tinjauan ke tempat kejadian di Pangkalan Bun, yang mana pesawat tersebut
menghempas air lalu tenggelam di dasar.
Sumber: Mynewshub.cc