Tidak ramai yang kenal dengan Raja Bansah yang kini memerintah rakyat suku Hohoe, etnik di negara Ghana yang terletak di dalam benua Afrika.
Raja Bansah atau nama sebenarnya Togbe Ngoryifia Céphas Kosi Bansah, dinobatkan menjadi raja pada tahun 1992 kerana bapa dan abang beliau dirasakan tidak layak mengambil alih takhta kerana kidal.
Bagi suku Hohoe, manusia kidal tidak layak memerintah kerana dianggap sebagai tidak boleh dipercayai.
Baginda pada sebelum ditabal sebagai Raja telah lama berhijrah ke Jerman untuk belajar dan mengambil keputusan untuk menetap di sana.
Pada tahun 1987 nenda baginda yang juga raja meninggal dunia, Raja Bansah dibawa pulang dan ditabal menjadi Raja.
Sungguhpun setelah dinobat sebagai Raja, Raja Bansah enggan kembali ke Ghana dan membuat keputusan untuk terus menetap di Jerman sambil melaksanakan pemerintahannya melalui telefon pada mulanya.
Namun dengan perkembangan teknologi terkini dan wujudnya internet, baginda kini memerintah negaranya dengan menggunakan aplikasi Skype.
Walau bagaimanapun, ekoran perbezaan zon masa di antara Ghana dan Jerman, Raja Bansah terpaksa berjaga pada waktu malam untuk membincangkan hal ehwal dan masalah di negara asalnya.
Difahamkan bahawa baginda hanya pulang enam tahun sekali untuk mencemar duli bersama lebih 200 ratus ribu rakyatnya di Ghana.
Yang menariknya tentang Raja Bansah ialah baginda merupakan seorang pengurus bengkel membaiki kereta sepenuh masa dan menjalani kehidupan seperti rakyat biasa di Jerman!
Namun apabila baginda pulang ke Ghana, Raja Bansah bertukar status dan merupakan seorang bangsawan yang disenangi rakyat jelata disebabkan statusnya sebagai raja.
Baginda merupakan pemerintah pertama yang menggunakan konsep IT sepenuhnya bagi menguruskan negara dan pada masa yang sama merupakan seorang mekanik kereta.
Walaupun Raja Bansah merupakan seorang Raja yang memiliki aset berjuta di negara asalnya, sebenarnya Baginda terkenal sebagai seorang bangsawan yang sangat merendahkan diri.
Sehingga kini, Raja Bansah difahamkan masih menggunakan aplikasi Skype untuk memerintah suku Hohoe di Ghana yang dilakukan dari kediamannya yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya di Jerman.
Penggunaan media sosial di Malaysia contohnya memudahkan rakyat jelata berinteraksi dengan menteri dan wakil rakyat mereka tanpa batasan protokol.
Lihat saja bagaimana Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak yang aktif menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter bagi mengulas pendapat disamping dapat menerima aduan daripada rakyat.
Jelaslah internet merupakan salah satu saluran rangkaian penghubung yang membawa kebaikan sekiranya digunakan dengan tujuan yang baik dan beretika.
Internet sebetulnya bukanlah tempat menabur fitnah, tohmahan, menyebar cerita palsu, tempat meraih publisiti murahan dan jauh sekali tidak wajar digunakan sebagai medium memaki hamun atau menunjuk sikap tidak senonoh kita, kan?
Meskipun menyedari etika tersebut, masih lagi ramai pengguna internet yang tergamak mencetus kontroversi termasuk menghina Raja-Raja Melayu sehingga menyebabkan mereka diburu pihak berkuasa.
Contoh terbaik, Ali Abdul Jalil dan Alvin Tan. Mahu jadi seperti mereka? -MukhreezMahazeer /KedahNews.com