KUALA LUMPUR – Undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) 1960, amat diperlukan bagi menangani anasir-anasir
subversif, sekali gus memastikan keharmonian dan kestabilan sesebuah
negara.
Beberapa penganalisis politik tanah air berpendapat ISA, yang telah
dimansuhkan kerajaan pada 2011, sebenarnya masih relevan dan kerajaan
disaran mempertimbangkan saranan agar ISA dikembalikan bagi mengekang
tindakan pihak tertentu mengganggu-gugat keselamatan negara selain
menangani perlakuan subversif.
Bagi menggantikan ISA serta memelihara keamanan, kesejahteraan,
kesentosaan dan kerukunan hidup rakyat dan negara, dua undang-undang
baharu iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau
ringkasnya SOSMA dan Akta Perhimpunan Aman 2012 diluluskan Dewan Rakyat
pada 2012.
Seperti yang dinyatakan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid
Mohamad baru-baru ini bahawa keputusan kerajaan memansuhkan ISA sebagai
satu kesilapan dan kerajaan harus mempertimbang keperluan untuk
mengadakan semula akta tersebut tanpa takut kepada kritikan mengenainya.
Perlukah ISA dikembalikan?
Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal
Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Jabatan Perdana Menteri Prof Dr
Jayum Jawan berkata, akta seperti ISA sememangnya diperlukan untuk
sesebuah negara menangani pelbagai ancaman baharu yang menggugat
ketenteraman awam dan kestabilan politik.
“Daripada satu sudut, undang-undang seperti ISA bersifat menyekat
sesuatu perbuatan walaupun ia masih di peringkat perancangan (belum
dilakukan lagi).
“ISA mampu menentang perbuatan subversif kerana sifatnya yang boleh
dirumuskan sebagai tahan dulu, bukti kemudian berbanding amalan biasa
jika ada bukti baru boleh tahan (prinsip tidak bersalah selagi belum
dibuktikan bersalah),” katanya.
Namun, yang menjadi kebimbangan sesetengah pihak adalah
penyalahgunaan ISA untuk tujuan selain daripada menangani ancaman
keselamatan.
Katanya ini kerana ISA sebelum ini didakwa sebagai terlalu mudah
digunakan terhadap lawan politik terutama apabila ada pihak yang
merasakan kedudukan politik mereka terancam.
ISA PENYUMBANG KEAMANAN, KESTABILAN NEGARA
Bagi pensyarah Kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara
Malaysia Md Shukri Shuib berkata ISA menyumbang kepada keamanan dan
kestabilan rakyat di negara ini.
“ISA bersifat mencegah sebelum parah namun malangnya ia dibubarkan
ekoran janji politik. Falsafah di sebalik kemudahan sesebuah akta perlu
difahami setiap pemimpin agar akta yang disifatkan sebagai benteng utama
negara tidak dijadikan korban hanya kerana agenda politik.
“Pemansuhan ISA juga bermaksud tiada lagi peluang besar untuk
kerajaan menggubal akta sekukuh ISA disebabkan faktor komposisi
pembangkang di Parlimen semakin bertambah. ISA sepatutnya diperkukuhkan
dengan beberapa penambahbaikan,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, Md Shukri berkata sesebuah undang-undang atau akta
perlu bersifat menjuarai elemen mempertahankan keselamatan negara dan
faktor ‘akta lama yang sudah lapuk’ tidak wajar dijadikan isu untuk akta
berkenaan dimansuhkan.
“Amerika Syarikat mempunyai akta seumpama ISA, dikenali sebagai
‘Patriot Act’. Mereka bukan sahaja menahan rakyat mereka yang disyaki
terlibat dengan jenayah subversif bahkan turut menahan rakyat dari
negara lain yang dianggap menggugat keselamatan mereka.
“Persepsi antarabangsa mendesak kita memberi kebebasan penuh
sedangkan mereka sendiri melanggar hak asasi manusia berkali-kali dan
berterusan melakukannya. Justeru, Malaysia tidak harus tunduk dengan
tekanan antarabangsa yang sememangnya mahu ISA dimansuhkan,” katanya.
Bersependapat dengan Md Shukri, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan
dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad
Martadha Mohamed berkata ISA masih relevan dalam konteks pencegahan
terutama melibatkan pelbagai anasir negatif, yang berleluasa sehingga
membawa kepada kerosakan negara.
ISA DIPERLUKAN UNTUK KAWAL NEGARA
Katanya keadaan menjadi sukar apabila terdapat pihak tertentu
menggunakan media sosial termasuk mempunyai rangkaian antarabangsa yang
sukar dikawal.
“Justeru, keperluan kepada undang-undang pencegahan seperti ISA
amatlah diperlukan bagi mengawal negara daripada kumpulan yang cuba
merosakkan keharmonian dan kestabilan negara.
“ISA sebetulnya amat sesuai untuk mencegah anasir subversif seperti
komunis, ektremis agama serta ektremis politik. Undang-undang yang ada
pada hari ini kurang berkesan sebagai mekanisme pencegahan kerana ia
terpakai apabila seseorang itu ditangkap dan diambil tindakan sahaja
sedangkan apabila sesuatu berlaku, kemungkinan ia telah membawa
kerosakan besar kepada negara,” katanya.
Daripada satu aspek kebebasan bersuara, Jayum berkata keputusan
kerajaan memansuhkan ISA merupakan satu tindakan tepat dalam memberi
ruang demokrasi lebih luas kepada rakyat.
Beliau berpendapat setelah 57 tahun negara merdeka dan meneliti
amalan demokrasi negara, rakyat merasakan diri mereka sudah cukup matang
untuk berpolitik dalam suasana baharu selain faktor ISA yang sering
disalahguna oleh pihak tertentu, menyumbang kepada desakan menuntut
pemansuhan ISA.
“Pemansuhan ISA adalah satu kredit kepada kepimpinan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukti beliau mendengar suara dan tuntutan
rakyat.
“Namun, mungkin apa yang tidak terbayang ketika itu (keputusan
memansuhkan ISA) ialah kecekapan dan keberkesanan anggota keselamatan
dalam menangani pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara
akan terjejas apabila tiada ISA.
“Ini kerana pemansuhan dibuat secara tiba-tiba dan selama ini pihak
keselamatan bergantung kepada akta ini. Apabila ISA tiada, mungkin
persediaan untuk mengisi kekurangan itu memerlukan usaha giat dan
sedikit masa,” katanya.
“Justeru, pihak keselamatan perlu diberi kuasa supaya mereka dapat
menjalankan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan dalam
meningkatkan kepercayaan awam bahawa negara dalam keadaan selamat dan
bebas daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya kerajaan berhasrat memperkenalkan undang-undang seperti
ISA rakyat perlu diyakinkan bahawa ia tidak akan menjadi senjata politik
untuk mengekang mereka bersuara termasuk menutup suara lawan politik.
Selain itu, jaminan semakan (review) perlu ada supaya undang-undang
baharu itu dikendalikan dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – BERNAMA