Rakyat Sabah Puji KDN Terma Rujukan RCI

TUARAN - Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Sabah (Pekadin) menyambut baik langkah Kementerian Dalam Negeri mengumumkan segera terma-terma rujukan (TOR) bagi  Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Kerja seperti disyorkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah.

Naib Presiden Pekadin, Luis Lidong berkata, ini menunjukkan komitmen tinggi dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan melalui Kementeri Dalam Negeri untuk mencari jalan penyelesaian terbaik masalah di negeri ini yang tidak berkesudahan itu.

"Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (Kerajaan Persekutuan) mengotakan  janjinya kepada rakyat Sabah menubuhkan RCI dan seterusnya mengumumkan laporan dapatan RCI.

Kementerian Dalam Negeri pula mengumumkan segera terma rujukan Jawatankuasa Tetap dan  Jawatankuasa Kerja tersebut.

Ini merupakan petanda yang baik untuk menangani isu pendatang tanpa izin  di Sabah...sekurang-kurangnya ada 'harapan' untuk rakyat Sabah yang sekian lama menunggu tindakan  konkrit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketika mengumumkan TOR di sini semalam, Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata, lima terma rujukan bagi Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ialah meneliti dan mengkaji dapatan dan isu-isu RCI  dengan tumpuan untuk penambahbaikan di masa akan datang.

Terma lain ialah meneliti maklumbalas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah melalui forum  serta konsultasi berhubung pengurusan warga asing di Sabah; mengkaji pelaksanaan pengurusan pendatang  asing di Sabah dan mengemukakan syor ke  atas keududukan pendatang asing mengikut peraturan dan undang-undang.

Terma terakhir bagi Jawatankuasa Kerja ialah menyediakan pelan tindakan dalam mengatasi isu masalah pendatang asing dari segi sosial, ekonomi, keselamatan dan lain-lain.

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua jawatankuasa berkenaan sudahpun mengadakan mesyuarat tidak rasmi pertamanya semalam.

Sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) merupakan parti tempatan di Sabah yang  lantang memperjuangkan isu Pati dilaporkan berkata bahawa anggota majlis tertinggi parti itu tidak ada halangan untuk Presidennya, Pairin  menerima pelantikan pengerusi jawatankuasa kerja tertakluk kepada TOR yang bakal diumumkan.

Sementara itu, Luis berkata, Pekadin berharap Kementerian Dalam Negeri akan mengambil tindakan  tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang terlibat dalam "Projek IC" yang mempermudahkan Pati memperolehi dokumen pengenalan yang sah atau MyKad. - Bernama