Radamel Falcao mahu terus kekal di Manchester United namun tidak gembira andai Louis van Gaal terus meletakkannya di bangku simpanan Old Trafford.
Penyerang terbabit menegaskan mahu kekal di Old Trafford musim depan meskipun berdepan kesukaran mendapatkan tempat bersama kelab itu.
Penyerang Colombia hanya turun tiga perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tidak lebih dari dua bulan kerana mengalami kecederaan.
Dia tiba sebagai pemain pinjaman memerlukan belanja besar dari Monaco pada hari terakhir perpindahan.
Falcao kembali cergas namun kedudukannya kini di belakang Wayne Rooney, Robin van Persie dan pemain muda, James Wilson dalam senarai pemilihan pengurus United, van Gaal yang memaklumkan pemain 28 tahun itu tidak akan dipilih berdasarkan prestasi individu.
Namun Falcao mengharapkan perjanjian sebagai pemain tetap bersama United selepas perjanjian kontrak bernilai £250,000 (RM1.3 juta) seminggu tamat penghujung musim ini.
"Banyak kami bincangkan antara saya dan jurulatih," kata Falcao.
"Beliau mempunyai falsafah saya hormati. Saya mengalami kecederaan dan perlu menunggu peluang beraksi. Pada pandangan saya, ya saya mahu terus kekal di sini.
"Jelas sekali saya sudah menganalisa keadaan untuk melihat peluang terus berada di sini dan menanti keputusan akan dibuat oleh pihak pengurusan.
"Saya bertegas mahu terus berada di sini."
Falcao hanya menjaring satu gol buat United setakat ini ketika mereka melakar kemenangan 2-1 ke atas Everton Oktober lalu namun kembali sebagai pemain gantian ketika menentang Liverpool minggu lalu.
Dia mengalami kecederaan lutut ketika tiba di United sebelum bergelut dengan masalah otot di bahagian paha selepas itu. Namun pemain dari Amerika Selatan itu yakin bersedia untuk membuktikan sokongan terhadap United.
"Saya berasa selesa untuk bermain. Fizikal saya sudah pulih sepenuhnya.Saya gembira dengan apa kami lalui. Tidak banyak perlawanan dapat saya beraksi dan pasti masih banyak peluang untuk saya.
"Saya sudah bersedia jika pasukan mahukan khidmat saya. Setiap kali mempunyai peluang, saya akan cuba memberi aksi terbaik untuk jurulatih dan cuba membantu pasukan.
"Saya sudah hampir 100 peratus pulih jadi tunggu dan lihat keputusan yang akan jurulatih lakukan sama ada dia mahu menurunkan saya sepenuhnya atau tidak.
"Kami mempunyai kelompok penyerang yang sangat baik dan bagus untuk semua orang.
"Itu bermakna sentiasa wujud persaingan antara kami, satu persaingan sihat dan jelas sekali saya gembira dengan apa yang dilakukan oleh pasukan. "Setiap pemain mahu beraksi, tiada siapa yang gembira jika mereka tidak bermain apabila mereka berada di bangku simpanan.
"Namun apabila saya diberi peluang, sama ada lima, 10, 20 atau 90 minit saya perlu memberi yang terbaik.
"Tapi semuanya baik di sini. Saya sangat gembira dengan bandar ini, kelab ini dan saya menikmati apa yang ada di sini." -myMetro