Marah benar Rosyam Noor dan kemarahan itu diluahkan menerusi laman sosial Twitter miliknya.
Apa yang dimarahkan pengarah dan pelakon terkenal itu?
Sebetulnya kemarahan Rosyam berasas apabila anaknya yang memohon kerja di sebuah premis perniagaan di pusat membeli belah, One Utama, disuruh membuka tudung sekiranya mahu diambil bekerja di syarikat tersebut.
Menurut "hero" filem Malaya itu, anaknya baru lepas SPM dan sedang mencari pekerjaan yang sesuai kerana enggan membiarkan masa terluang begitu saja.
Namun mengejutkan, syarikat terkemuka yang dikatakan menjual permainan kanak-kanak itu memberikan syarat supaya anak gadisnya itu membuka tudung sekiranya mahu bekerja di situ.
Jelas sekali Rosyam tidak marah kerana anaknya tidak diambil bekerja di syarikat berkenaan, namun kemarahannya adalah didorong pada polisi syarikat tersebut yang seolah mengamalkan diskriminasi terhadap aurat Islam dan umatnya di negara ini.
Sememangnya sesebuah syarikat di Malaysia diberi hak untuk menetapkan polisi syarikat masing-masing.
Namun jelas sekali polisi syarikat yang beroperasi di One Utama itu tidak mesra Islam dan menetapkan polisi yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Kisah yang berlaku terhadap anak Rosyam itu sebetulnya adalah sinonim dengan beberapa syarikat lain yang dilaporkan sebelum ini menetapkan pekerjanya fasih berbahasa Cina, tidak diberikan masa bersolat dan lebih teruk lagi bersifat perkauman.
Soalnya, apakah itu sikap syarikat-syarikat di Malaysia sekarang? Jika benar, apakah wujud pada diri mereka perasaan dan tanggungjawab sosial terhadap umat Islam dan dasar kerajaan yang menuju ke arah sebuah negara bangsa?
Tidak malukah syarikat-syarikat seumpama itu menjalankan perniagaan di sebuah negara Islam, tapi melakukan diskriminasi terhadap umat Islam di negara tersebut? Tidak takutkah diboikot?
Nampaknya Rosyam yang menjadi mangsa baru-baru ini telah bertindak awal melancarkan boikot terhadap syarikat di One Utama itu... -KedahNews.com