PUTRAJAYA – Al-Quran harus menjadi rujukan utama untuk menguruskan
hal berkaitan Islam secara berkualiti, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kegagalan segelintir umat Islam pada masa kini
menjalani cara hidup Islam dengan berkualiti adalah kerana tidak
berpegang sepenuhnya kepada ajaran kitab suci itu.
Berucap merasmikan Seminar Pengurusan Kualiti Islam 2014 anjuran
Universiti Utara Malaysia di sini hari ini, Dr Mahathir berkata keadaan
itu menyebabkan mereka terjebak melakukan perbuatan menyalahi agama
termasuk salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.
Bagi mendalami ajaran al-Quran, beliau berkata umat Islam disaran
membaca dan memahami al-Quran dalam bahasa yang difahami sama ada
tafsiran dalam bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, seperti yang
dilakukan beliau sendiri.
“Ini membolehkan kita mendapat banyak maklumat kerana memahami bahasa
itu, sekali gus dapat menjalani kehidupan berkualiti untuk berjaya di
dunia dan akhirat,” katanya.
Dr Mahathir turut menyentuh sikap segelintir umat Islam yang lebih
gemar mengikut ajaran ulama atau pemimpin-pemimpin tertentu berbanding
merujuk al-Quran.
“Kita lagi suka mendengar apa yang disarankan ulama terkenal
sehinggakan ada yang bertentangan dengan agama pun kita sanggup terima,”
katanya. – BERNAMA