KUALA LUMPUR – Sebanyak 71 keluarga yang terlibat dengan kejadian
banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands, November lepas menerima
bantuan wang ihsan berjumlah RM35,500, persidangan Dewan Negara
diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
berkata bantuan itu diberikan melalui peruntukan Kumpulan Wang Amanah
Bantuan Bencana Negara yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara,
Jabatan Perdana Menteri.
“Setiap keluarga menerima RM500, senarai nama mangsa dikeluarkan
Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah disahkan oleh pegawai daerah
Cameron Highlands.
“Bantuan wang ihsan ini bukan pampasan sebaliknya ia bukti
keprihatinan kerajaan persekutuan untuk mengurangkan beban mangsa yang
mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Roslin
Abdul Rahman yang ingin tahu statistik mereka yang menerima bantuan
daripada kerajaan akibat banjir di Cameron Highlands baru-baru ini.
Dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands 5
November lepas, lima mangsa terkorban manakala lima lagi cedera. –
BERNAMA