KISAH tetamu membungkus makanan atau ‘tapau’ selepas menghadiri
jamuan sememangnya sudah jadi kebiasaan, malah ia dapat mengelakkan
makanan disediakan tuan rumah yang berlebih, terbuang begitu sahaja.
Jika di pejabat, aktiviti menapau ini biasanya dilakukan oleh kakitangan bawahan dan jarang sekali oleh orang atasan.
Bagaimanapun, penulis Shahbudin Husin menerusi blognya telah
berkongsi kisah ‘kurang enak’ mengenai orang atasan bergelar Datin di
sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya, yang didakwanya kerap ‘songlap’
makanan jamuan secara halus.
Dek kerana itulah, wanita ini mendapat gelaran ‘Datin Tapau’ di kalangan kakitangan jabatan tersebut.
Apa tidaknya, setiap kali mesyuarat diadakan, Datin ini akan meminta kakitangan membuat tempahan melebihi jumlah kehadiran.
“Misalnya, jika yang hadir mesyuarat seramai 20 orang, maka akan diminta membuat tempahan makanan untuk 30 orang daripada hotel.
“Maknanya, 20 hidangan untuk keperluan mesyuarat manakala
yang 10 lagi untuk keperluan peribadi bos bergelar Datin itu. Sudah
tentu semua bil jamuan dibayar melalui peruntukan kerajaan,” tulisnya.
Menariknya, ‘Datin Tapau’ itu mahu bahagiannya dihantar lebih awal
sebelum mesyuarat bermula, sekaligus menyebabkan pihak katering
kelam-kabut kerana perlu menyediakan dan menghantar makanannya terlebih
dahulu.
“Apa yang merisaukan petugas hotel
berkenaan adalah makanan yang ditapau bukan saja hidangan tengahari atau
minum petang, bahkan termasuk juga sarapan pagi.
“Mereka bimbang, jika hidangan sarapan pagi misalnya dibawa
pulang ke rumah oleh Datin tersebut setelah tamat waktu pejabat, ianya
mungkin terdedah kepada keracunan makanan yang boleh memudaratkan
kesihatan,” tambah Shahbudin.
Sebenarnya, apa yang lebih menjengkelkan ialah makanan yang ditempah
itu menggunakan duit kerajaan, sekaligus memperlihatkan Datin itu cuba
mengambil kesempatan.
Kalau setakat menapau lebihan makanan jamuan, mungkin tiada siapa
yang akan mengungkit. Ini tidak.. secara terang-terangan membuat
tempahan untuk kegunaan peribadinya dan entah mahu dibawa ke mana.
“Nafsu rupa-rupanya tidak mengenal rupa, darjat, kedudukan dan harta,” akhiri tulisan sinis tersebut. -KedahNews.com