Siapakah "Hantu" Cuba Aniaya Kaki Pancing Di Malaysia?


Sebelum ini kecoh di kalangan kaki-kaki pancing tentang khabar angin yang mengatakan mereka perlu memohon lesen dari Jabatan Perikanan Malaysia untuk turun memancing di mana-mana lokasi di Malaysia.

Desas-desus itu giat tersebar di laman-laman sosial, khususnya Facebook, dan dikatakan adalah dari "sumber dalaman Jabatan Perikanan" sendiri.

Ekoran itu, ramai "anglers" yang memberi reaksi negatif, marah-marah dan "bengang habis" dengan khabar buruk tersebut.

Namun menceriakan kaki-kaki pancing itu kembali apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut dan memberi jaminan ia tidak akan berlaku.

Menurut Ismail, cadangan mengenakan syarat lesen kepada para pemancing timbul pada tahun 2012 yang ia hanyalah diperingkat cadangan sahaja.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa cadangan itu telah diarahkan supaya dibatal serta merta sambil menyifatkan ia sebagai satu cadangan yang tidak masuk akal.

"Saya tidak tahu pun tentang cadanga peraturan ini...Saya telah arahkan supaya dibatalkan cadangan peraturan tidak masuk akal ini.

"Saya pun marah dengan cadangan tidak masuk akal ini," kata Ismail yang dipetik "viral" dari laman sosialnya.

Menurut Ismail lagi, beliau mengakui wujudnya aktiviti bom ikan, tuba, meracun ikan dan sebagainya, namun terdapat undang-undang yang dikhususnya bagi menghukum pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Memandang serius penyebaran berita tentang peraturan palsu itu menyebabkan Menteri itu bertindak memanggil Jabatan Perikanan Malaysia bertemu dengannya secepat mungkin.

"Saya beri jaminan cadangan ini akan saya arahkan batal serta merta.. saya telah arahkan KP Jabatan Perikanan berjumpa saya esok pagi.." katanya lagi.

KedahNews.com memandang tinggi ketegasan Ismail dalam menangani isu ini.

Agak pelik bagaimana satu peraturan yang hanya diperingkat cadangan dan secara logiknya cadangan itu sebagai tidak masuk akal boleh tersebar meluas dari "sumber dalaman" Jabatan Perikanan.

Benarkah dari "sumber dalaman Jabatan Perikanan" atau surat berkenaan hanyalah salah satu rekaan politik dari pihak lawan yang mahu menjatuhkan kreadibiliti Kerajaan Barisan Nasional?

Namun sekiranya benar surat itu tersebar dari "sumber dalaman Jabatan Perikanan", maka tidak syak lagi ada penjawat awam yang menjadi "hantu" di dalam jabatan berkenaan.

Soalnya, siapakah "hantu" tersebut?  -KedahNews.com