Nampaknya meskipun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan para pemimpin menasihatkan pengguna laman sosial supaya memeriksa kesahihan maklumat sebelum disebar, namun gesaan itu tetap enggan dipeduli.
Walaupun nasihat berkenaan sejajar dengan ajaran agama Islam demi mencegah kekeliruan di kalangan rakyat dengan unsur fitnah dan tohmahan yang lebih besar dosanya dari dosa membunuh, namun ia tetap tidak dipedulikan.
Mungkinkah para pengguna laman sosial di Malaysia pada zaman ini lebih suka pada fitnah dan gemar menyebarkan suatu tohmahan tanpa usul periksa?
Jika benar, maka tepatlah sabda Rasulullah SAW yang mengatakan budaya fitnah semakin menarik minat umat Islam di akhir zaman dan mereka tidak lagi mengendahkan hukum-hakam Allah demi memuaskan nafsu serakah...
Terbaharu, seorang pengguna laman sosial telah menjadi mangsa keadaan apabila menyebarkan dakwaan palsu yang kononnya lori-lori yang membawa bantuan untuk mangsa banjir telah dirampas oleh pihak polis dan Jabatan Pertahanan Awam.
Pengguna laman sosial itu tanpa usul periksa telah menyebarkan cerita terbabit di laman sosial sebelum menyedari bahawa laporan berkenaan adalah palsu.
Bagaimanapun, dia telah memohon maaf atas ketelanjuran menyebarkan cerita fitnah itu dan mendakwa berita berkenaan diperoleh dari "cyber troopers".
Pun begitu, pengguna laman sosial tersebut tidak menjelaskan "cyber troopers" yang dimaksudkan itu adalah dari kem pro-kerajaan atau pihak Pakatan Rakyat.
Namun berpandukan ayat-ayat keji-mengeji yang digunakan dan hinaan yang memaki hamun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berhempas pulas memastikan bantuan banjir di Pantai Timur, berkemungkinan besar cerita fitnah itu berasal dari kem pembangkang.
Kedahnews.com mengecam sebarang tindak-tanduk seperti yang dinyatakan pengguna laman sosial berkenaan yang memanipulasi insiden banjir terburuk negara sejak tahun 1971 itu dengan sentimen politik.
Perlu diingat, banjir tidak mengenal batas politik, agama atau kaum. Tidak wajar untuk mengaitkan sebarang sentimen seperti itu di saat saudara mara kita sedang bergelut dengan masalah banjir di sana.
Mereka sedang bergadai nyawa menghadapi banjir dengan membantu lebih 200,000 mangsa, ada pulak "cyber troopers politik" yang mengambil kesempatan mempolitikkan keadaan dengan fitnah jijik yang dilarang Islam?
Mungkin inilah antara hikmah yang kita peroleh dalam insiden banjir kali ini di mana Allah SWT mendedahkan pihak mana sebenarnya yang sangat suka pada budaya fitnah memfitnah ini, kan? Wallahu'alam. -myKMU.net