#Solidariti: Doa Untuk Semua Mangsa Banjir...


Musibah yang berlaku di kebanyakan tempat di Pantai Timur semakin teruk dan sangat-sangat memerlukan pertolongan serta bantuan daripada seluruh rakyat Malaysia.

Keadaan banjir itu dikatakan antara yang terburuk dalam tempoh hampir 43 tahun di sesetengah tempat seperti di Kuala Tahan, Kuala Krai dan Gua Musang.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, pelbagai cara boleh kita salurkan untuk membantu mereka dalam meringankan beban yang sedang ditanggung. Ini kerana yang pasti kemusnahan harta benda, malah kehilangan nyawa sedang berlaku di sana.

Antara cara yang boleh disalurkan adalah dengan menghulurkan sumbangan berbentuk wang ringgit, keperluan asas dan sebagainya. Bolehlah untuk sama-sama menolong mana yang terdaya.

Bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang menyelamat, perubatan, kesihatan dan kaunseling, bolehlah turun padang ke sana untuk membantu dan memberikan semangat kepada mereka, selain menyelamatkan mangsa banjir.

Tetapi ingat, jangan sesekali bertindak hero atau di luar keupayaan dengan menolong mangsa banjir tanpa mempunyai ilmu yang cukup dan hanya bergantung pada kenderaan atau semangat sahaja.

Ini kerana ada di antara mereka akan mendatangkan kesukaran kepada pihak pengurusan banjir serta penyelamat dalam memastikan sama ada penduduk di situ telah dipindahkan sepenuhnya.

Kejadian seperti ini sering berlaku dan kita seharusnya ingat bahawa bencana alam sukar untuk dijangka. Apa sahaja boleh berlaku termasuk kejadian yang meragut nyawa penduduk.

Jika sungguh mahu membantu, carilah saluran-saluran yang ada seperti di pusat pemindahan, sekolah mahupun menyertai operasi mengagihkan keperluan makanan. Ia adalah lebih baik daripada bergadai nyawa untuk membantu orang lain dengan semberono dan tidak kena pada tempatnya.

Cara lain yang boleh dilakukan adalah menderma di pelbagai medium tabung bencana alam yang ditubuhkan di media massa serta badan-badan bukan kerajaan yang sering membantu mereka yang mengalami kesusahan seperti ini.

Jangan sesekali tertipu dengan tabung kutipan amal yang dijalankan di tepi-tepi jalan, restoran, hadapan bank dan sebagainya kerana cara itu tidak memberikan kesahihan yang benar.

Semoga rakan-rakan kita yang menjadi mangsa banjir akan terus cekal dan tabah menghadapi dugaan yang mendatang ini. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja.

Intan Siti
Gombak, Selangor

Sumber: Utusan