Stadium Shah Alam Jadi Medan Tempur Aksi Harimau Malaya - Vietnam

Stadium Shah Alam telah dipilih menjadi medan pertarungan peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 7 Disember ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa stadium berkenaan dipilih ekoran penilaian yang dibuat menunjukkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil kurang sesuai digunakan pada perlawanan berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin turut memaklumkan bahawa tiket perlawanan akan dijual secara online bermula jam 9 pagi hari ini dan hanya empat keping tiket sahaja dibenarkan untuk satu transaksi pembelian.

Harga tiket bagi penonton dewasa bagi perlawanan itu adalah RM40 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

Hamidin turut memaklumkan bahawa tiket berkenaan juga akan dijual di kaunter Stadium Shah Alam bermula Jumaat ini

Walau beraksi hambar di peringkat awal saingan, Harimau Malaya bangkit mencatat kemenangan dramatik menewaskan juara bertahan Singapura, 3-1, sekaligus melangkah masuk ke peringkat separuh akhir.

Skuad kesayangan negara itu bakal berentap dengan juara Kumpulan A, Vietnam, selepas berjaya meletakkan diri sebagai naib juara bagi Kumpulan B. -KedahNews.com