JOHOR BAHARU – Seorang penganggur ditahan polis awal hari ini, dalam
tempoh kurang 24 jam selepas dia dipercayai memukul hingga mati
isterinya yang baru bersalin.
Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Nor Hashim Mohamed berkata suspek
ditahan pada pukul 2.45 pagi di kawasan awam di Yong Peng, hampir 100km
dari kediaman mereka di sebuah rumah kedai di Jalan Meranti, Taman Sri
Pulai, dekat sini.
“Suspek kini ditahan reman dan kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh
di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di
sini.
Mangsa, M. Sila, 27, ditemui dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan
diri di atas lantai rumah kedai tersebut pada 6.40 pagi semalam.
Wanita itu dilaporkan meninggal dunia kerana kecederaan kepala sebaik tiba di Hospital Sultanah Aminah di sini. – BERNAMA