LOS ANGELES – Sebuah pesawat milik Penerbangan Southwest mendarat di
sini dengan pertambahan seorang penumpang berbanding apabila jet
berkenaan berlepas.
Situasi itu berlaku apabila seorang penumpang melahirkan anak sejurus
selepas Penerbangan 632 itu berlepas dari bandar raya San Francisco,
menuju ke Phoenix di negeri Arizona kelmarin.
Namun, pesawat itu dilencongkan ke bandar raya ini berikutan kelahiran tersebut.
Jurucakap Southwest, Emily Samuels berkata, wanita berkenaan dibantu
oleh kru pesawat dan seorang doktor serta jururawat yang kebetulan
menaiki penerbangan itu.
Katanya, bayi itu dipercayai akan mendapat keistimewaan untuk menaiki Penerbangan Southwest secara percuma untuk seumur hidup.
“Ibu dan bayi baru lahir itu seterusnya dibawa ke sebuah hospital dan
kini berada dalam keadaan baik,” kata jurucakap Jabatan Bomba Los
Angeles, Erik Scott.
Sebelum itu, beberapa penumpang berkata, mereka mendengar hebahan
di interkom meminta bantuan jika terdapat doktor dalam pesawat itu.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi bayi menangis dan saya berkata kepada
diri sendiri, tiada bayi dalam penerbangan ini,” kata seorang
penumpang, Kurt Reed.
Juruterbang kemudian membuat ucapan tahniah atas kelahiran bayi lelaki tersebut, ujar seorang penumpang lain, Aarti Shahani.
“Kami semua bertepuk tangan tetapi kami sebelumnya keliru kerana menyangka seseorang akan mati,” katanya. – AP