KUANTAN – Gara-gara menerima rasuah sebanyak RM290 daripada seorang
lelaki tahun lepas, seorang anggota polis didenda RM2,000 di Mahkamah
Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Habibah Mohamed Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas Lans
Koperal Ridzuan Kunchin mengaku bersalah menerima rasuah itu bagi
melepaskan Norazizi Mohamad yang ujian air kencingnya positif dadah.
Ridzuan, 33, yang bertugas di cawangan Narkotik Balai Polis Raub,
juga berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima satu barang berharga
iaitu wang tunai berjumlah RM290 tanpa apa-apa balasan daripada Norazizi
yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasminya di sebuah rumah tidak
bernombor, Kampung Ulu Renggol, Sega, Raub pada 8.30 malam 31 Okt 2013.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun
Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara dua tahun atau denda atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh
diwakili peguam Abdul Shukor Mohd Nor.
Dalam rayuannya, tertuduh memberitahu dia menginsafi perbuatannya dan mahu memulakan hidup baru.
“Anak guam saya kini digantung tugas selepas kesnya dibawa ke
mahkamah dan dia terpaksa menyara seorang anak yang masih kecil,”
katanya.
Bagaimanapun, Amer Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman
setimpal bagi memberi pengajaran kepada masyarakat terutamanya kerana
kes itu membabitkan anggota polis.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Habibah berkata tertuduh perlu
menjadikan kes itu sebagai pengajaran kerana sebagai anggota polis, dia
tidak harus melakukan perbuatan itu dan sepatutnya menjalankan tugas
penjawat awam dengan baik dan tidak menerima rasuah.- BERNAMA