#Terkini Banjir: Semua Negeri Beransur Surut! Alhamdulillah...

KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak dilaporkan beransur surut petang semalam dengan kesemua mangsa banjir di Selangor telah dibenarkan pulang. 

Di KELANTAN, jumlah mangsa berkurangan daripada 151,072 orang pada sebelah pagi kepada 147,072 orang petang semalam.

Ini dinyatakan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama.

Menurut portal banjir negeri Kelantan, setakat 5 petang, paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard di Tanah Merah dan Tambatan Diraja di Kota Baharu selain Sungai Golok di Rantau Panjang surut sedikit namun masih melepasi paras bahaya.

Keadaan cuaca adalah mendung.

Di TERENGGANU, lebih ramai mangsa mengambil peluang pulang ke rumah masing-masing berikutan cuaca bertambah baik dan air mulai surut.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, kira-kira 570 mangsa terutama di Kemaman berbuat demikian.

Keseluruhan mangsa di Terengganu setakat ini berjumlah 32,210 orang berbanding 32,782 tengah hari tadi.

Pada masa sama, dua pusat pemindahan telah ditutup menjadikan 75 pusat yang masih beroperasi.

Di SELANGOR, semua 33 mangsa daripada sembilan keluarga di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai telah dibenarkan pulang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama berkata pusat penempatan itu juga telah ditutup.

Di JOHOR, bilangan mangsa berkurangan kepada 175 orang daripada 50 keluarga berbanding 328 orang melibatkan 84 keluarga tengah hari semalam.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, 100 mangsa masih berada di dua pusat pemindahan di Batu Pahat, Segamat (44 mangsa/tiga pusat), Muar (18 mangsa/satu pusat) dan Kluang (13 mangsa/dua pusat).

Di PERAK, jumlah mangsa yang dipindahkan di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Kerian terus menurun petang ini kepada 7,407 orang daripada 1,948 keluarga berbanding 7,540 daripada 1,984 keluarga tengah hari semalam.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, kesemua mereka ditempatkan di 22 pusat pemindahan di Kuala Kangsar, Perak Tengah (19), Hulu Perak (11) dan Kerian (satu).

PAHANG bagaimanapun memperlihat jumlah mangsa kembali meningkat kepada 35,501 orang berbanding 33,225 orang di 234 pusat pemindahan dalam lapan daerah.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, dua pusat pemindahan banjir terakhir di daerah Rompin yang ditutup pagi tadi kembali dibuka bagi menempatkan 29 mangsa. – BERNAMA