Sebahagian daripada 1,600 patung beruang panda yang menjadi simbolik jumlah keseluruhan panda di seluruh dunia dipamerkan kepada umum di Dataran Putrajaya di sini hari ini. - Foto BERNAMA |
PUTRAJAYA – Lebih 200 patung panda ‘menawan’ Dataran Putrajaya di
sini hari ini melalui program ’1,600 Panda Jelajah Dunia’ bertujuan
mewujudkan kesedaran tentang ancaman kepupusan yang dihadapi haiwan itu.
Kehadirannya menarik beratus-ratus pengunjung untuk melihat dari
dekat patung dengan pelbagai gaya serta saiz yang dihasilkan daripada
kertas itu sambil menonton persembahan ‘flash mob’ dalam program yang
berlangsung di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya dari 10 pagi hingga
12 tengah hari.
Berikutan keadaan cuaca dan ruang yang tidak mengizinkan, hanya 200
daripada 1,600 patung berkenaan dapat diperagakan di sini kepada orang
ramai.
Patung berkenaan kemudian ‘berkampung’ pula di Dataran Putra dari 2 hingga 4 petang.
Patung daripada kertas kitar semula yang memulakan penjelajahannya
pada 2008 melalui program kerjasama dengan pengukir Perancis Grangeon
dan Tabung Alam Sedunia ini akan berada di Malaysia hingga 25 Jan tahun
depan.
Sebelum ini, ia dipamerkan di beberapa negara termasuk Perancis, Belanda, Itali, Jerman, Switzerland, Taiwan dan Hong Kong.
Rombongan panda ini akan turut berkunjung ke beberapa lokasi ikonik
lain di negara ini termasuk Batu Caves di Selangor, Menara Condong Teluk
Intan (Perak), Tugu Negara (Kuala Lumpur) dan Stadthuys (Melaka).
Kumpulan 1,600 patung panda ini menjadi simbol jumlah panda gergasi yang masih wujud di dunia sekarang.
Sementara itu, seorang pengunjung Melissa Tan, 31, berkata
persembahan ‘flash mob of pandas’ menimbulkan kesedaran dan mendidik
generasi muda tentang kepentingan memulihara spesies terancam melalui
pendekatan artistik.
“Lebih banyak acara seperti ini patut diadakan kerana ia boleh
menanam kesedaran dalam diri orang ramai tentang pentingnya memulihara
panda,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program ini dengan melayari laman Facebook ’1600 Pandas MY’. – BERNAMA