Beberapa buah stesen minyak di Lembah Klang dilaporkan kehabisan stok
petrol RON97 pada hari pertama harga bahan api itu ditetapkan
menggunakan kaedah apungan terkawal.
Memetik laporan laman web The Malay Mail,
tinjauan di beberapa stesen petrol di Taman Tun Dr Ismail, Petaling
Jaya, Bangsar dan Damansara menunjukkan ada yang kehabisan stok petrol
gred berkenaan seawal pukul 11.30 pagi.
Operator stesen minyak menyalahkan langkah penurunan harga oleh kerajaan yang dilihat terlampau mendadak.
Seorang pengendali stesen minyak dengan 26 tahun pengalaman yang
enggan mendedahkan namanya berkata stesen petrol miliknya tidak menjual
petrol RON97 sejak dua hari lepas kerana kekurangan bekalan dan
peningkatan permintaan.
“Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini sebelum ini, harga
telah diturunkan 20 sen di pertengahan bulan lepas dan kali ini ia
diturunkan lagi sebanyak 9 sen.
“Tidak banyak perbezaan antara RON97 dan RON95 biarpun kedua-duanya menggunakan sistem apungan terkawal,” katanya.
Dengan perbezaan harga kira-kira 20 sen, permintaan untuk petrol
telah berubah dari 10 peratus untuk RON97 dan 90 peratus untuk RON95
kepada masing-masing 20 peratus dan 80 peratus.
“Jika harga ini kekal, permintaan untuk RON97 akan meningkat 40 peratus daripada pelanggan saya.
“Kekurangan bekalan juga menyebabkan kebimbangan pengusaha
minyak akan kerugian kerana terpaksa menjual stok lama yang dibeli
dengan harga lebih tinggi.
“Ketika harga diturunkan 20 sen, saya kerugian kira-kira RM4,000.
“Sejak saya sudah kehabisan stok selama dua hari, ada
pelanggan saya yang berkeras mahu melihat ke dalam tangki simpanan
kerana menuduh saya enggan menjual petrol, saya sebenarnya akan kerugian
lebih besar jika tidak menjual semua stok saya,” katanya.
Seorang lagi pengusaha stesen minyak di Petaling Jaya yang juga
kehabisan bekalan RON97 berkata, syarikat minyak tidak bersedia
sepenuhnya dengan peningkatan mendadak permintaan ke atas bahan api itu.
“Saya tidak fikir, sesiapapun bersedia untuk memenuhi semua permintaan ini.
“Syarikat minyak memerlukan masa bagi memastikan tangki simpanan
mereka boleh disesuaikan mengikut keadaan permintaan, penurunan berlaku
sekali lagi selepas harga diturunkan,” katanya.
Bukan sahaja di Lembah Klang, di Georg Town, beberapa buah stesen minyak kehabisan petrol RON97 bermula pukul 2 petang.
“Kita tidak menjangkakan ramai orang secara tiba-tiba mengisi minyak
RON97,” kata seorang pengusaha stesen minyak di Jalan Datuk Keramat.
Di Ipoh, seorang pemilik stesen minyak berkata kekurangan bekalan
RON97 disebabkan pengusaha tidak mahu menerima stok baru minyak yang
dihantar ke stesen mereka.
“Siapa yang mahu menerima penghantaran stok baru apabila mengetahui mereka pasti akan kerugian,” katanya.