Tidak Setuju Hudud? PAS Persila DAP Keluar Pakatan Rakyat


KOTA BAHARU — PAS hari ini membidas DAP sambil menyarankan parti itu keluar dari pakatan pembangkang sekiranya ia tidak selesa dengan perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata DAP dialu-alukan untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya ia tidak yakin dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

“Kita (PAS) tak akan keluar dari pakatan pembangkang. Kalau dia (DAP) tak selesa dan rasa tak boleh menang dengan pakatan pembangkang, mereka boleh keluar bila-bila masa.
  
“Tak jadi masalah kepada kita dan kita tak akan tukar perjuangan kita (laksanakan hudud), kita tak akan korbankan perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.


Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang mahu pakatan pembangkang jelaskan pendirian bahawa mereka tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang pada pilihan raya umum ke-14.

Mohd Amar berkata DAP perlu menghormati perjuangan PAS yang selama ini ingin melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

“Resolusi yang dibuat itu untuk DAP dan bukan untuk PAS, kita ada perjuangan kita sendiri dan mereka tidak boleh paksa kita.

“Ia (resolusi) adalah untuk anggota dan pemimpin mereka, DAP perlu hormat rakyat Kelantan dan perjuangan PAS kerana isu hudud ini dah wujud sebelum pakatan pembangkang wujud,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud pada 29 Dis ini. — BERNAMA