Timbalan Menteri Besar PAS Hilang Kewarasan – Pemuda DAP


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah seolah-olah hilang pertimbangan yang waras kerana sanggup melihat parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat, kata Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong.

Menurutnya, kenyataan Mohd. Amar tidak kisah jika PAS dikeluarkan daripada gabungan Pakatan Rakyat demi melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan bersifat kebudak-budakan yang tidak menampilkan sifat matang seorang yang berilmu.

“Kami juga merasakan kenyataan beliau itu mengelirukan dan menyimpang jauh daripada konsensus dan dasar bersama Pakatan Rakyat yang telah dimeterai sejak enam tahun lalu.

“Kenyataan beliau mengandungi makna tersirat yang menggambarkan PAS sanggup berpatah arang dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Seolah-olah telah hilang pertimbangan waras,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kok Seong berkata, pada waktu negeri di pantai timur terutama Kelantan dilanda bencana banjir, Mohd. Amar sepatutnya bertenang dan menumpukan segala usaha untuk membantu rakyat daripada bercakap tentang sesuatu yang menyimpang daripada dasar Pakatan Rakyat.

Justeru, kata beliau, bukan PAS atau DAP yang harus keluar daripada Pakatan Rakyat, tetapi Mohd. Amar yang sepatutnya meninggalkan PAS kerana merosakkan hubungan baik parti dalam Pakatan Rakyat. -Mynewshub.cc