Tips Berguna Buat Rakyat Kedah Dari #MukhrizMahathir

Menjelang bermulanya musim persekolahan 2015 ini, maka ramailah ibu bapa yang tergaru-garu kepala memikirkan kos membeli pakaian sekolah, kasut sekolah, beg sekolah, pensil, pemadam, kotak pensil, buku dan barang-barang keperluan lain.

Sebelum ini, turut dirungut tentang yuran-yura sekolah yang dikatakan membebankan. Namun alhamdulillah, pihak kerajaan telah bertindak memansuhkan semua jenis yuran, termasuk yuran peperiksaan di setiap peringkat sekolah di seluruh negara.

Yang tinggal hanyalah yuran PIBG yang diputuskan oleh pihak ibu bapa dan pengurusan sekolah berkenaan setiap tahun. Terpulanglah dalam mesyuarat PIBG oleh jawatankuasa yang dilantik...

Setiap tahun menjelang musim cuti sekolah juga, ramai pemimpin berjiwa rakyat yang sedar tentang bebanan ibu dan ayah itu. Jadi, ada di kalangan mereka yang tampil memberi bantuan persekolahan...

Misalnya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Beliau bukan saja menghulurkan bantuan barangan persekolahan buat anak-anak Kedah, malah turut memberi "tips" berguna kepada golongan ibu bapa yang hadir.

Kata Mukhriz, ibu bapa selain guru perlu memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak mereka, termasuk pendidikan agama serta akhlak mulia di rumah, dan anak-anak itu insyaAllah akan tahu mengenang budi baik orang tua dengan berkelakuan baik dan menjaga ibu bapa di hari tua.

Sebaliknya, Mukhriz menjelaskan bahawa tidak memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak akan memungkinkan anak-anak itu akan menyusahkan kedua ibu bapa mereka apabila mereka dewasa kelak.

"Jika kita beri pendidikan yang baik untuk anak kita, kelak mereka akan jaga kita dengan baik.. Jika mereka tidak dapat pendidikan yang baik maka mereka akan menjadi beban buat kita," kata Menteri Besar Kedah yang kini merupakan idola seluruh rakyat negeri Jelapang Padi itu.

Justeru itu kata Mukhriz, pendidikan harus dilihat sebagai suatu bentuk pelaburan jangka panjang oleh ibu bapa yang akan dapat dirasa kemanisannya apabila tiba waktunya kelak.

Sememangnya wujud kebenaran dalam "tips" yang diberikan Mukhriz tersebut di mana segelintir ibu bapa mengambil sikap sambil lewa dan tidak mementingkan pendidikan anak-anak.

Jika anak-anak mereka melakukan perkara tidak bermoral, habis diseranahnya guru-guru di sekolah kononnya tidak memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka.

Padahal, jelas termaktub di dalam Al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa anak-anak merupakan tanggungjawab kepada ibu bapa untuk mendidik dan mencorak mereka sama ada ke arah Islam, Majusi mahupun Nasrani.

Malangnya, tanggungjawab yang sepatutnya dipikul ibu bapa itu diserahkan bulat-bulat kepada guru-guru di sekolah, seolah-olah mereka lari dari tanggungjawab yang sepatutnya mereka pikul sebaik-baiknya.

Apapun, selamat melakukan persiapan kembali ke bangku sekolah kepada adik-adik kita di serata-rata Kedah dan kalau boleh janganlah terlalu membebankan ayah bonda dengan barangan sekolah yang berjenama dan mahal-mahal harganya.

Pastikan adik-adik belajar bersungguh-sungguh dan kejayaan adik-adik dalam mengejar ilmu itu adalah sesuatu yang lebih berharga dan mahal harganya berbanding beg sekolah yang berharga ratusan ringgit itu. 

Beli beg yang RM20 pun sudah memadai untuk bawa buku ke sekolah, kan? Janji belajar sungguh-sungguh! -KedahNews.com