Mendapat berita kehamilan seorang isteri kebiasaannya disambut gembira oleh para suami yang bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT yang tidak ternilai dengan wang ringgit itu.
Selain sujud syukur ke hadrat Allah SWT, terdapat pasangan suami isteri yang sanggup mengadakan sedikit jamuan bersempena perkhabaran gembira tersebut.
Menantikan kelahiran bayi mungil yang comel sudah kemestian bagi sesetengah bakal ibu dan ayah yang berkemampuan untuk membeli-belah barangan keperluan bayi. Jika boleh, mahu dibeli selengkap-lengkapnya.
Pun begitu, jangan dilupa pertumbuhan bayi di dalam kandungan dan status ibu yang sedang mengandung. Mereka juga perlukan keperluan rohani dan rahmat dari Allah SWT, apatah lagi ketika dalam proses melahirkan anak nanti.
Menurut pengalaman ibu-ibu, sakit ketika melahirkan anak bagaikan terputus ribuan urat saraf dan tubuh bagaikan ditusuk ribuan jarum-jarum halus yang memeritkan. Mereka bersabung nyawa demi sebuah nyawa yang sangat istimewa, seorang lagi umat Muhammad SAW...
Justeru itu, dikongsikan di sini sepotong doa bagi memudahkan proses melahirkan anak agar boleh diamalkan oleh para ibu-ibu mengandung.
Para suami pula dialu-alukan untuk menyalin atau mencetak doa tersebut, dan dihadiahkan kepada isteri yang sedang menanti hari melahirkan zuriat mereka.
Berikut adalah doa tersebut: - KedahNews.com
اللَّهُمَّ احْفَظْ وَلَدِيْ مَا دَاْمَ فِي بَطْنِي
وَاشْفِهِ أَنْتَ شَاْفٍ لاَ شِفَاء إلاَّ شِفَاْؤُكَ شِفَاءً لاَ يُغَاْدِرُ سَقَمًا
اللَّهُمَّ اخْرِجْهُ مِنْ بَطْنِي يَوْمَ وِلاْدَتِهِ سَهْلاً و تَسلِيْمًا
اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَحِيْحًا كَاْمِلاً حَاْذِقًا عَاْقِلاً عَاْلِمًا زَكِياًّ مُؤْمِنًا صَاْلِحًا
اللَّهُمَّ احْسِنْ خُلُقَهُ وَافْصَحْ لِسَاْنَهُ وَاحْسِنْ صَوْتَهُ لِقِرَآءَةِ
الْقُرْآنَ وَالْحَدِيْثَ بِبَرَكَةٍ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمْ
Maksudnya:
"Ya Allah, Peliharalah anakku selama dia berada dalam kandunganku,
Dan sembuhkanlah ia, Engkaulah Maha Penyembuh, tiada penawar melainkan penawar Engkau, penawar yang tidak lagi mengundang sebarang penyakit,
Ya Allah, keluarkanlah dia dari kandunganku pada hari kelahirannya secara mudah dan selamat,
Ya Allah, jadikanlah bayiku sihat, sempurna, pintar, berakal, berpengetahuan, cerdik, beriman serta soleh.
Ya Allah, perelokkanlah akhlaknya, fasihkanlah lidahnya, merdukanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan al-Hadith dengan berkat Muhammad S.A.W