SIK – Enam sekeluarga dari Kampung Namek dekat sini tinggal sehelai
sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 3 pagi itu kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kejadian.
Rumah itu milik pasangan Masnawi Ahmad, 41, dan isterinya Rashidah
Mustafa, 37, yang mempunyai empat anak berusia satu hingga 14 tahun.
Ketika kejadian keluarga itu berada di rumah seorang saudara mereka di
Kampung Bukit Selambau, Sungai Petani.
Masnawi yang bekerja kampung berkata jiran dan saudara mara yang
tinggal berhampiran rumahnya berusaha memadamkan kebakaran tetapi gagal,
menyebabkan tiada sebarang peralatan yang dapat diselamatkan kerana api
terlalu marak.
Katanya dia pulang ke rumah pukul 4 pagi bersama keluarganya setelah
dihubungi jiran dan mendapati rumah dan sebuah motosikal miliknya
musnah.
“Saya menerimanya sebagai takdir dan berharap ada bantuan daripada
mana-mana pihak untuk membina semula rumah yang musnah akibat kebakaran
ini,” katanya.
Masnawi bersama keluarganya kini terpaksa menumpang di rumah seorang saudara berdekatan rumahnya yang musnah terbakar.
Sementara itu, Anggota Parlimen Sik Dr Mansor Abd Rahman hari ini
melawat mangsa kebakaran dan menghulurkan bantuan segera bagi
meringankan beban mereka.
“Saya akan berbincang dengan beberapa pihak bagi membantu keluarga
ini mendapatkan sebuah rumah untuk mereka meneruskan kehidupan termasuk
daripada projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah
program zakat TNB,” katanya.
Sementara itu, Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik akan membantu
membersihkan kawasan rumah yang terbakar untuk dibina semula setelah ada
bantuan oleh mana-mana pihak.
Pengerusinya Mahadzir Abd Hamid berkata anggota Sukarelawan 1Malaysia
Daerah Sik sedia membantu membersihkan sisa kebakaran itu dalam masa
terdekat. – BERNAMA