Umat Islam Di Malaysia Banyak Titik Persamaan, Mengapa Pilih Titik Perselisihan?

Syeikh Mohamed Abdul Aziz Mahmoud Ghonim menyeru umat Islam, bagi mencari titik persamaan dan menolak titik perselisihan bagi memastikan kesejahteraan Islam sentiasa terpelihara.

Syeikh Mohamed berkata, punca umat Islam berpecah sekarang kerana mereka terlalu 'mengambil berat' mengenai perkara remeh hinggakan mereka terlupa mengenai banyaknya titik persamaan dalam Islam.

"Titik persamaan kita lebih banyak daripada perselisihan. Perumpamaannya begini apabila kita masuk masjid kita boleh lupa pasal bangsa, politik.

"Imam kata betulkan saf, rapatkan saf kita boleh ikut," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Refleksi Kehidupan Amazing Life 2015’ di Dewan Sultan Muhammad V, Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sheikh Mohamed berkata, umat Islam boleh mencontohi bangsa Eropah yang boleh bersatu dan sentiasa mempunyai nilai kebersamaan tatkala 'kawannya' mempunyai masalah.

"Kita selalu ambil hal mengenai perkara remeh temeh misalnya soal politik, bangsa, yang boleh memecah belahkan kita.

"Tengok Mesir berbangsa arab, 90 juta rakyat, tetapi tidak boleh bersatu, sedangkan orang kafir boleh berpakat, tolong-menolong, misalnya Greece dilanda masalah ekonomi, Jerman (negara paling kukuh ekonomi di Eropah) tolong Greece, lepas itu Itali menghadapi masalah mereka tolong dan selepas itu mereka tolong Sepanyol," katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Mohamed turut menitipkan satu nasihat untuk menjadi 'power'.

Katanya, untuk menjadi lebih 'bertenaga' umat Islam perlu merujuk kepada ALLAH.

"Bila kita sakit hati jadi serabut kepala, kita zikir kepada ALLAH.

"Mengadu pada ALLAH, mungkin hati kita sudah berkarat," katanya. -Sinar Harian