SEORANG lelaki cedera parah akibat diserang tiga ekor singa selepas
dia memasuki kandang haiwan tersebut di sebuah zoo di Barcelona.
Lelaki berusia 45 tahun dengan pakaian tentera itu didakwa memanjat
pagar untuk memasuki kandang tersebut sebelum diserang singa yang cuba
mengheretnya ke dalam sebuah terowong.
Mangsa bagaimanapun terlepas daripada maut apabila pasukan
keselamatan zoo berjaya menyelamatkannya selepas mengharungi tempoh 30
minit untuk menakutkan singa-singa tersebut.
Tubuh badan lelaki itu terdapat kesan calar yang teruk selain luka
akibat gigitan singa. Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital de la
Vall D’Hebron.
Lelaki yang dikenali sebagai Justo Jose MP itu sebelum ini dilaporkan
pernah ditahan polis kerana terlibat dengan demonstrasi di bandar.
Bagaimanapun pihak berkuasa masih belum mengetahui tujuan mangsa memasuki kandang singa terbabit.