Sekiranya kita ronda-ronda di sekitar kampung-kampung, taman-taman perumahan mahu di pekan-pekan kecil di negeri Kedah, pastinya kita akan terserempak dengan kelibat anak muda menaiki motorsikal tanpa topi keledar.
Bukan orang muda sahaja, malah kadang kala kita akan melihat orang dewasa, warga "veteran" dan remaja bawah umur yang dipercayai tidak memiliki lesen, selamba "merempit" di jalanraya tanpa rasa bersalah.
Mungkin perkara itu sudah menjadi budaya dan pada mereka, mungkin memakai helmet itu adalah suatu perkara yang menyusahkan.
Pelbagai kempen dan nasihat telah diberikan pihak berkuasa. Bukan sedikit wang yang dibelanjakan untuk kempen dan program berkenaan. Sampai ke satu tahap, pihak berkuasa seolah terpaksa "merayu" pada orang ramai agar sedar tentang bahaya menunggang tanpa topi keledar.
Ekoran tidak dipedulikan, maka pihak berkuasa terpaksa membuat peraturan, undang-undang jalanraya dan menetapkan kompaun atau saman bagi pesalah-pesalah trafik berkenaan.
Baru-baru ini tersebar di laman sosial mengenai seorang remaja dipercayai berketurunan India menangis tersedu-sedu setelah "diusik" abang-abang Polis kerana tidak memakai helmet.
Video berkenaan cepat "viral" dan ramai yang tersengih-sengih melihat anak muda itu menangis kerana takut digari meskipun abang-abang Polis itu hanya bergurau sahaja.
Baru berumur 13 tahun, dipercayai dia juga tidak mempunyai lesen.
Melihat pada reaksi remaja berkenaan, KedahNews.com yakin dia akan ingat pada insiden berkenaan untuk seumur hidup dan mungkin akan serik untuk menunggang motorsikal tanpa helmet.
Mungkin pada segelintir masyarakat kita memandang perkara ini sebagai remeh dan melucukan.
Pada zahirnya, mungkin lucu. Tapi, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini pada anak remaja India itu, apa pula reaksi kita?
Apakah kita tidak serik dengan kemalangan maut yang membabitkan penunggang motorsikal di jalanraya sebelum ini?
Mungkin tidak kena pada keluarga kita, maka kita akan memandang mudah peraturan yang dikenakan.
Namun jika sudah terkena, mungkin ada yang "makan tak habis", kan?
Jadi, ambillah iktibar. Takkanlah sampai perlu digari, baru kita nak pakai helmet? Fikir-fikirkanlah... -KedahNews.com