Benarlah bagai dikata. Jodoh, ajal dan maut itu di tangan Allah SWT. Sesungguhnya kita mampu merancang dan segala takdir hanya Dia yang menentukan...
Bayangkan kita sedang sibuk melakukan persiapan menuju ke alam perkahwinan dalam tempoh sebulan, sedang berangan berkongsi hidup dengan pasangan tersayang, tiba-tiba ditakdirkan ajal datang menjemput.
Tragis dan amat memilukan mengenang kisah pasangan bakal suami isteri
ini yang ditemui mati berpelukan bersama dalam tali air di hadapan
Sekolah Kebangsaan Seri Bahagia Parit 9 Timur, Sungai Besar pagi tadi.
Lebih menyedihkan, difahamkan bahawa pasangan ini sedang menunggu majlis pernikahan mereka yang bakal berlangsung bulan depan.
Kematian pasangan ini dipercayai berpunca selepas motosikal yang
dinaiki mereka terbabas ke dalam tali air hingga menyebabkan
kedua-duanya lemas.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah
Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mayat pasangan itu
ditemui 8 pagi tadi oleh orang awam.
“Kedua-dua mangsa menaiki motosikal dan dipercayai terbabas sebelum
masuk ke tali air berkenaan ketika hujan lebat semalam.” kata Nor Azmi.
Nor Azmi memberitahu, pasangan ini dikenali sebagai Intan Norliyana
Mohammed, 18, dari Parit Changkat dekat sini dan Mohammad Azizul
Ariffin, 21, dari Kampung Baru Nelayan.
Sebelum insiden ini, keluarga Mohammad Azizul telah pun membuat
laporan polis melaporkan kehilangan anaknya kira-kira pukul 9.30 malam
tadi. - KedahNews.com