JITRA – Seorang isteri terpaksa berhutang dengan rakan dan jiran
untuk membeli susu khas, lampin pakai buang serta ubat untuk suaminya
yang terlantar akibat kemalangan.
Rohana Ariffin, 46, dari kampung Kandis, Kodiang dekat sini berkata
suaminya Piaamaddin Saad, 48, lumpuh seluruh badan selepas terlibat
dalam kemalangan jalan raya pada Disember 2012 di Pendang.
Rohana berkata, dia terpaksa berhutang selepas bekalan susu khas untuk suaminya dari hospital telah habis sejak Oktober lepas.
“Susu itu harga RM78 setin dan hanya bertahan tiga hari.
“Saya dah buat permohonan kepada pihak hospital untuk dapatkan susu khas itu secara percuma pada tahun hadapan.
“Tapi sebelum sampai tahun depan saya terpaksa beli sendiri bekalan. Saya tak mampu nak kerja sebab ada ketumbuhan pada ovari.
“Bantuan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM300
sebulan tidak cukup untuk tampung perbelanjaan suami lebih RM1,000 yang
memerlukan perhatian sepenuhnya,” kata Rohana kepada pemberita di
rumahnya hari ini.
Rohana berkata dia dan suami bersama dua anak Iskandar Zulqurnain,
15, dan Natasha, 11, yang masih bersekolah terpaksa mengharapkan bantuan
orang ramai yang memberi zakat dan pelbagai sumbangan lain bagi
meneruskan kehidupan.
Katanya, dia juga tidak mampu untuk membayar yuran persekolahan untuk anaknya.
Rohana berkata Iskandar kini mengambil upah mencuci kereta
berhampiran rumah mereka bagi mengumpul duit untuk membeli kelengkapan
persekolahan dan buku pada tahun hadapan.
“Saya harap ada pihak tampil bagi bantuan kepada keluarga,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rohana
di talian 017-5857686 atau terus ke akaun Agro Bank
1-00-5031-00005954-5. – BERNAMA