10 Senarai Syarikat Penerbangan Paling Selamat: MAS, Air Asia Sederhana Selamat

SYDNEY – Tragedi yang menimpa dua buah pesawat Malaysia Airlines (MAS) tahun lalu menyaksikan syarikat penerbangan kebangsaan negara itu tidak termasuk dalam senarai 10 syarikat udara paling selamat di dunia, lapor media tempatan hari ini.

Berdasarkan kedudukan terbaharu penarafan yang diterbitkan AirlineRatings.com, sebuah firma rujukan sehenti keselamatan dan kualiti produk syarikat penerbangan dunia, MAS hanya memperoleh lima daripada keseluruhan tujuh bintang ditetapkan.

Menerusi senarai terkini dikeluarkan semalam, laman web firma penarafan antarabangsa yang berpusat di sini, membuat ‘kejutan’ apabila menamakan Qantas Australia sebagai syarikat penerbangan premium paling selamat di dunia untuk tahun 2015.

Ia menimbulkan tanda tanya kerana secara kebetulan pada 8 Disember tahun lalu, syarikat penerbangan kedua tertua di dunia itu selepas KLM Belanda; mencipta rekod melakukan tiga pendaratan kecemasan dalam tempoh 24 jam di tiga destinasi berbeza.

Turut termasuk dalam senarai 10 kelompok terbaik ialah Air New Zealand, British Airways, Cathay Pacific Airways Hong Kong, Emirates UAE, Etihad Airways UAE, EVA Air Taiwan, Finnair Finland, Lufthansa Jerman dan Singapore Airlines.

Untuk kategori syarikat tambang rendah paling selamat di dunia, AirAsia yang baharu ditimpa tragedi pada 28 Disember lalu juga tidak termasuk dalam senarai malah penarafan bagi syarikat itu ‘digantung’ daripada sebarang penilaian kriteria.

Aer Lingus Ireland mendahului senarai teratas disusuli Alaska Airlines Amerika Syarikat (AS), Icelandair Iceland, Jetblue AS, Jetstar Australia, Kulula Afrika Selatan, Monarch Airlines Britain, Thomas Cook Britain, TUIfly Jerman dan Westjet Kanada.

Senarai itu melibatkan 449 syarikat penerbangan premium dan tambang rendah dari seluruh dunia dinilai teliti sepasukan lapan penulis berpengalaman dalam bidang pengangkutan udara termasuk isu keselamatan dan tahap kepuasan pelanggan.

Namun MAS dan AirAsia masih dianggap sederhana baik kerana menurut ketua editor AirlineRatings.com, Geoffrey Thomas, ada yang cuma dapat satu bintang iaitu Agni Air Nepal, Kam Air Afghanistan, Nepal Airlines, Scat Kazakhstan dan Tara Air Nepal.

MAS bagaimanapun masih boleh berbangga apabila disenarai dalam kelompok 10 syarikat udara untuk kabin kelas ekonomi jarak jauh terbaik manakala KLIA di Sepang termasuk antara 10 buah lapangan terbang paling baik di dunia. – Agensi