KUCHING – Sejumlah 10,000 anggota tentera dari Markas Satu Divisyen,
Kem Muara Tuang dekat sini dan 6,000 askar wataniah akan dikerahkan
untuk tugas menyelamat mangsa banjir sekiranya negeri ini dilanda
bencana itu.
Panglima Markas Satu Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw
berkata, anggota tentera dari Sabah akan turut dikerahkan sekiranya
banjir melanda Bahagian Lawas dan Limbang.
Setakat ini 6,000 anggota askar wataniah sudahpun ditempatkan di
kawasan-kawasan yang dijangka dilanda banjir, katanya kepada Bernama
selepas taklimat pengurusan bencana banjir negeri Sarawak di Wisma Bapa
Malaysia di sini, hari ini.
Taklimat berkenaan telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri
Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri
Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Sementara itu dalam sidang akhbar selepas taklimat berkenaan, Jabu
berkata, jumlah anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis,
Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta
Jabatan Kesihatan adalah mencukupi bagi tugas-tugas menyelamat sekiranya
banjir melanda negeri ini.
Jabu berkata, walaupun Jabatan Meteorologi menjangka tidak akan
berlaku banjir serius di negeri ini, tetapi memandangkan musim hujan
dijangka berlanjutan sehingga Mac tahun ini maka persiapan rapi tetap
dilakukan bagi menghadapai sebarang kemungkinan.
“Melihat banjir teruk yang melanda beberapa negeri di Semenanjung
Malaysia maka kita telah membuat persiapan yang rapi bagi menghadapai
sebarang kemungkinan,” katanya.
Katanya, taklimat hari ini meliputi perkara-perkara seperti mekanisme
pengurusan bencana negara, struktur pengurusan bencana negeri Sarawak
dan kesiapsiagaan aset dan anggota dalam tindak balas pengurusan bencana
di negeri ini.
Menurut Jabu sebanyak 600 pusat pemindahan sudah dikenal pasti selain
beberapa pangkalan hadapan di kawasan-kawasan strategik di setiap
daerah di negeri ini untuk menyimpan bekalanan makanan dan keperluan
lain.
Di samping itu, katanya sebanyak 180 pembekal makanan dan barangan
keperluan lain sudah pun dikenal pasti sementara setiap daerah akan
dibekalkan dengan 50 jaket keselamatan. – BERNAMA