2 Remaja Selamat Selepas Sesat Di Gunung Pulai, Baling

Gunung Pulai, Baling
BALING – Anggota penyelamat pelbagai agensi menyelamatkan dua remaja lelaki selepas mereka sesat semasa cuba menuruni Gunung Pulai berhampiran Gua Kelambu di sini, malam tadi.

Mohd Hanafi Huzni Minhat, 21 dan Mohd Alimin Ahmad, 20, dari Kampung Seberang diselamatkan ketika berada di ketinggian kira-kira 304 meter di gunung itu.

“Semasa diselamatkan, mereka berada dalam keadaan keletihan kerana tidak makan dan minum sebab tidak membawa bekalan makanan ketika mendaki Gunung Pulai,” kata Pegawai Zon 3,Ketua Operasi Menyelamat, Balai Bomba Dan Penyelamat Kulim Hi Tech Mohd Hafiz Suhaimi hari ini.

Menurutnya mangsa memberitahu mula mendaki Gunung Pulai dari arah kawasan Gua Kelambu sejak 10 pagi semalam tanpa ditemani penduduk kampung yang cekap laluan gunung itu.

Sehingga 7 malam, kedua-dua remaja itu gagal mencari jalan pulang menyebabkan seorang daripada mereka meminta bantuan daripada rakan yang dihubungi menggunakan telefon mudah alih, katanya.

“Rakan mereka membuat laporan polis yang kemudian memaklumkan kepada pihak bomba, yang memulakan operasi mencari dan menyelamat mereka pada 7.30 malam,” kata Mohd Hafiz.

Menurutnya usaha menyelamat kedua-dua remaja itu berdepan rintangan kerana cuaca gelap dan di kawasan tertentu, anggota penyelamat terpaksa menggunakan tali untuk menurunkan mangsa kerana kawasan muka bumi gunung yang berbahaya.

Kedua-dua remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Daerah Baling untuk menerima rawatan.

Beliau menasihatkan individu yang mahu mendaki gunung di kawasan Baling supaya membuat laporan di balai polis terdekat bagi memudahkan operasi menyelamat dilakukan jika berlaku kecemasan. – BERNAMA