200,000 Tan Sampah Banjir Terkumpul, Dijangka Meningkat


KUALA KANGSAR - Sebanyak 200,000 tan sampah banjir di negeri-negeri terjejas telah dikumpulkan setakat hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun menjangkakan jumlah itu akan meningkat antara 300,000 ke 400,000 tan selepas fasa pasca banjir.

“Ini merupakan cabaran kepada pihak kementerian untuk menguruskan sampah-sampah banjir kerana membabitkan tapak pelupusan sampah.

“Untuk makluman, ada tapak pelupusan terjejas berikutan dilanda banjir dan memerlukan pembukaan tapak pelupusan sementara seperti di Temerloh. Di daerah itu, tiga tapak pelupusan sementara dibuka untuk menempatkan sampah-sampah banjir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja dan gotong-royong di sekitar Arena Square yang terjejas akibat dilanda banjir dekat sini hari ini. -Utusan