BERITA mengenai nahas udara melibatkan beberapa pesawat komersial di
seluruh dunia sejak akhir-akhir mungkin memberi kesan mendalam terhadap
minat orang ramai untuk menaiki kapal terbang sebagai pengangkutan
pilihan yang cepat dan selesa.
Namun bagi orang miskin, menaiki
pesawat untuk pergi ke mana-mana destinasi pasti mencetuskan rasa teruja
apatah lagi bagi golongan kaya, menaiki kapal terbang kepada mereka
ibarat menaiki teksi cuma bezanya ia boleh terbang di awan biru.
Ironi, ada juga insan yang mengalami
perasaan takut berlebihan apabila menaiki pesawat serta pengangkutan
udara lain seperti helikopter dan dalam bahasa saintifik dunia psikologi
ia juga dikenali sebagai aviophobia atau aerophobia atau pteromerhanophobia.
Keadaan ini turut dialami individu
popular bertaraf selebriti termasuk bintang Hollywood yang hidup mewah
tetapi turut menghidap fobia jika terbang di udara atau berada di tempat
tinggi walaupun di dalam pesawat canggih yang dijamin selamat.
Berikut disenaraikan lima selebriti terkenal yang juga mengalami perasaan itu:
Megan Fox: Aktres seksi filem Transformers
ini sering diminta untuk terbang dari satu negara ke negara yang lain,
namun tahukah anda, dia sebenarnya sangat takut terbang tetapi sebagai
pelakon profesional, Fox berusaha melawan rasa takutnya itu.
Petuanya
ialah ketika terbang, Fox yang berusia 28 tahun itu akan mendengar
lagu-lagu Britney Spears untuk menenangkan diri kerana menurutnya, lagu
malar hijau penyanyi itu mampu membuatnya dirinya berasa amat rileks.
Jennifer Aniston: Rasa takut bintang siri komedi Friends
berusia 45 tahun itu sudah bermula sejak peristiwa ribut kencang yang
membadai kediamannya di New York City, beberapa tahun lalu.
Jika
melakukan perjalanan dengan pesawat, beliau sering terbayang kilat dan
petir seolah-olah tidak henti menyerang dirinya sekali gus membuatnya
trauma sehingga kini.
Selama bertahun-tahun, Aniston lebih rela memilih
kenderaan darat untuk pergi dari satu tempat ke tempat lain.
Kirsten Dunst: Bintang heroin Spiderman ini
juga dilaporkan takut terbang.
Katanya dia selalu takut menaiki pesawat
walhal watak kekasih adwira labah-labah itu memang selalu bergayut
terbang dan bagi mengatasi fobia tersebut setiap kali terbang di udara,
dia akan membawa bersama-sama headphone bose
yang biasanya meredam suara seperti berbisik dalam pesawat.
Dunst yang
kini berusia 32 tahun itu mengenakan penutup besar telinga tersebut
ketika pesawat berlepas dan mendarat.
Britney Spears: Megan Fox mungkin dapat mengubati
rasa takutnya di udara dengan mendengarkan lagu penyanyi ini, namun
siapa sangka, jika Britney Spears juga ternyata takut menaiki pesawat.
Walaupun terkenal dengan pelbagai berita kontroversi, dia yang berusia
33 tahun itu sebenarnya sudah menjelajahi banyak negara di dunia, namun
pesawat tetap menjadi hal menakutkan dirinya dan caranya mudah, terpaksa
tidur mati sepanjang penerbangan.
Kate Winslet: Bintang legenda Titanic berusia
39 tahun ini memiliki ketakutan mati tragik dalam kemalangan udara.
Bukan hanya Winslet, bekas suaminya, Sam Mendes, memiliki ketakutan yang
sama sehingga mereka memutuskan untuk tidak menggunakan pesawat yang
sama ketika ingin pergi ke mana-mana destinasi.
Mereka takut
kecelakaan terjadi dan serentak mengorbankan nyawa mereka bersama sekali
gus tidak ingin anak-anaknya hidup tanpa ada orang tua.