SUKARELAWAN NSTP-Media Prima menyiapkan peralatan dan barangan sumbangan untuk diedarkan kepada mangsa banjir di Kampung Binjul Luar, Baling, Kedah. - Foto Danial Noordin |
SIAPA peduli sebiji tayar kenderaan pacuan empat roda tercabut lalu
kenderaan itu berpusing-pusing sebelum terbabas di bahu lebuh raya
Karak. Ada juga kenderaan yang mengalami kerosakan enjin dan pecah rim
tayar akibat lopak yang banyak di atas jalan raya kerana bencana banjir
besar.
Ada yang korbankan masa tidur dan keluarga tersayang.
Ada juga yang ikat perut demi dasar misi kemanusiaan. Ada pula yang
sanggup memikul barang bantuan seberat 20 kilogram dan berjalan sejauh
tiga kilometer untuk dihantar ke rumah mangsa banjir. Malahan ada juga
mangsa banjir yang tua dipapah pulang ke rumah kerana terlalu lesu.
Semuanya atas nama kemanusiaan, termasuklah kerja memasak kepada
orang yang tidak dikenali dan membersihkan tanpa disuruh. Semua
kepayahan dan keperitan ini tidak diendahkan, dikesali waima merungut
sekali pun kerana semua ini semata-mata atas nama besar iaitu prinsip
kesukarelawanan.
Keadaan itu dirasai penulis sewaktu menyertai misi
bantuan kemanusiaan Banjir Pantai Timur dikelolakan Kelab Kembara 4x4
Selangor dengan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) lain bermula di Desa
Melawati, baru-baru ini.
Konvoi menuju ke Pantai Timur
Sebanyak 60 kenderaan pacuan empat roda, dua lori satu tan dan sebuah
lori treler tiga tan membelah kesunyian tengah malam lebuh raya Karak
sebelum melalui ke jalan negeri menusuri bandar dan pekan seperti
Bentong, Raub, Benta, Lipis, Merapoh, Padang Tengku dan Gua Musang
sebagai checkpoint pertama. Konvoi besar ini kemudian menuju ke Jajahan
Kuala Krai merangkumi Dabong, Manek Urai, Laloh dan Pahi (antara kawasan
paling teruk bencana banjir).
Penulis sempat bertanya kepada Ketua Marsyal Konvoi dikenali sebagai
Saiful, apa nasib yang menimpa kepada kenderaan yang tercabut tayar dan
kerosakan enjin. Jawapannya mudah, biasanya semua barangan dalam
kenderaan itu dipindahkan segera ke kenderaan 'back-up' dan tinggalkan
sementara kenderaan rosak di tempat selamat. Yang penting misi bantuan
kemanusiaan mesti sampai pada waktunya.
"Yang penting mangsa banjir perlu didahulukan. Kita dapat merasai
kesusahan mereka ini, lebih-lebih lagi selepas banjir surut. Mereka ini
sudah tidak ada apa-apa lagi.
"Jadi inilah tempoh 'relief' yang perlu ditumpukan," katanya di
samping menyifatkan konvoi kemanusiaan kali ini adalah paling panjang
pernah dikendalikan iaitu lima hingga 8 kilometer jaraknya.
SUKARELAWAN bergotong-royong menyusun meja dan kerusi sekolah selepas banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok II, Terengganu. - Foto Aswadi Alias |
Tiba di pos kawalan kedua
Kesungguhan kata-kata itu dikotakan Saiful apabila sebaik tiba di pos
kawalan kedua (persimpangan Jalan Dabong-Kuala Krai), tidak semena-mena
dihulurkan biskut yang dibungkuskan dan minyak masak kepada dua makcik
yang berdiri di situ.
Penulis menanya perkhabaran keadaan dua makcik itu di persimpangan
berkenaan. Terkejut berbaur simpati dan pilu, kerana kedua-dua mereka
ini.
Sejarah membuktikan pelbagai skuad sukarelawan Malaysia memberikan
perkhidmatan yang sangat berkesan dan sentiasa berada di lokasi-lokasi,
di mana berlakunya peperangan, gempa bumi, tsunami, tanah runtuh dan
sebagainya sama ada di dalam atau pun di luar negara yang mengundang
risiko yang tinggi.
Suatu nilai dan amalan murni
Atas dasar itu, aspek sukarelawan adalah suatu nilai dan amalan
murni. Malahan, dalam keadaan tertentu, kesukarelawanan dianggap suci.
Kerana itulah, setiap yang terbabit dalam program sebegini, sama ada
secara individu ataupun secara berkumpulan, sama ada secara sistematik
ataupun tidak, dan sama ada sumbangannya itu adalah besar ataupun kecil,
ia dianggap sebagai kerja dan program terpuji.
Kesukarelawanan juga adalah satu daripada nilai yang disanjung tinggi
yang memungkinkan manusia terus hidup secara bermasyarakat dan
berkongsi erti keberkawanan dan kemanusiaan dalam maksudnya sebenar,
dari dulu hingga sekarang, dan diyakini akan sampai bila-bila pun.
SUKARELAWAN bergotong-royong menyediakan sajian makan tengah hari untuk mangsa banjir, baru-baru ini. - Foto Rozainah Zakaria |
Iktiraf peranan sukarelawan
Atas dasar itu, pada 17 Disember 1985, Perhimpunan Agung
Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi 40/212 yang telah menetapkan
dan mengisytiharkan 5 Disember setiap tahun disambut sebagai Hari
Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day). Hari Sukarelawan
Antarabangsa ini disambut sebagai mengiktiraf peranan yang dimainkan
oleh semua sukarelawan dalam menjayakan pelbagai program dan bantuan
kemasyarakatan di seluruh dunia.
Hari Sukarelawan Antarabangsa memberi peluang kepada sukarelawan,
masyarakat umum, pihak kerajaan dan agensi kerajaan serta pihak swasta
bekerjasama bagi mencapai sesuatu tujuan berasaskan semangat
kesukarelaan. Kalau di negara lain, elemen kesukarelawanan mempunyai
persamaan yang sama dalam konsep gotong-royong dalam masyarakat Melayu
kita, contohnya 'harambee' di Kenya, 'barangay' di Filipina dan 'minga'
di Amerika Latin.
Sebenarnya bukan mudah untuk melahirkan satu kelompok masyarakat yang
mempunyai tahap kesukarelawanan tinggi. Kesukarelaan boleh dijadikan
ukuran atau pembayang tentang sifat-sifat kemanusiaan yang ada dalam
diri seseorang atau sesuatu kumpulan manusia.
Orang yang sering terbabit dalam kerja sukarela akan dilihat sebagai
seorang bersifat mulia. Manakala yang tidak mahu langsung menyertai
kerja kesukarelawanan akan dilihat sebagai seorang yang mementingkan
diri sendiri.
Oleh itu apabila sesuatu kumpulan manusia ingin memilih seseorang
untuk diberikan sesuatu tugas atau tanggungjawab, contohnya menjadi
pemimpin untuk sesuatu organisasi, maka antara kayu ukur yang digunakan
untuk memilih calon pemimpin itu ialah seseorang mempunyai banyak
pengalaman dalam kerja atau program kesukarelawanan.
Rasa bertanggungjawab untuk bantu
Penulis ingin mengutarakan penemuan beberapa kajian yang memberikan
gambaran faktor mengapa kelompok sukarelawan terbabit dalam program
kesukarelawanan berkenaan. Pertama satu kajian di Brazil menunjukkan
bahawa 50 peratus daripada sukarelawan menyertai kerja kesukarelawanan
kerana mereka merasa bahagia apabila membantu orang lain, 38 peratus
merasa bertanggungjawab membantu mereka yang kurang bernasib baik,
manakala 31 peratus pula kerana agama atau pengajian mereka
memerlukannya.
Di Perancis, 19 peratus daripada golongan dewasanya terbabit dalam
kerja sukarelawan. Sebanyak 60 peratus daripadanya menyumbangkan 20 jam
atau lebih bagi setiap bulan. 46 peratus daripada responden menyatakan
bahawa mereka membabitkan diri dalam kesukarelawanan kerana suka
menolong orang lain, manakala 27 peratus menyatakan yang mereka merasa
bertanggungjawab untuk menolong.
Di Jerman pula, lebih kurang seorang dari setiap tiga orang dewasa,
iaitu 34 peratus, terbabit dalam kerja sukarela pada purata 15 jam
sebulan melalui pelbagai organisasi, inisiatif, projek dan kumpulan
menolong sendiri. Tiga suku daripada mereka terbabit untuk menambahkan
ilmu dan pengalaman.
Simpulan terbaik buat warkah ini ialah berakhir tahun 2014 sebagai
semangat sukarelawan, terbitnya tahun 2015 jua sebagai semangat
sukarelawan. Itulah gambaran terbaik buat rakyat Malaysia berpaksikan
nama sebagai seorang sukarelawan yang sejati.
*Penulis ialah penganalisis sosio media-politik dan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Media dan Penerangan) /BH Online
SUKARELAWAN Banjero Squad, Zuana Zainun, 37, mengumpul barang-barang yang disumbangkan oleh orang awam di hadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah untuk diberikan kepada mangsa banjir di Pahang. - Foto Luqman Hakim Zubir |