Meskipun boleh dikatakan hampir semua ulama muktabar di seluruh dunia berpandangan bahawa Negara Jajahan Islam
Iraq dan Syria (ISIS) adalah sesat, namun masih ada lagi yang menganggap tindakan ekstrimis itu sebagai "jihad".
Malah ada yang dilaporkan mempergunakan nama "Allah" atas perniagaan yang menjurus kepada menyokong perjuangan ISIS itu.
Akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Star, dalam laporannya pada
Jumaat lalu mendedahkan terdapat sebuah kedai di Bandar Baru Bangi dikesan
menjual barangan militan tanpa mempedulikan kemungkinan bakal ditahan.
“Saya lakukannya kerana Allah dan oleh sebab saya lakukan untuk-Nya,
saya tak perlu takut,” demikian dilaporkan jawapan peniaga
terbabit kepada wartawan akhbar tersebut.
Wartawan itu turut melaporkan tentang keadaan di luar kedai berkenaan yang disifat sebagai tidak nampak
mencurigakan namun di dalamnya terdapat pelbagai barangan kontroversi
yang dijual.
Antara barangan terdapat di kedai tersebut adalah bendera berkonsep
militan, topi dan baju.
Selain itu, ia juga membekalkan barangan yang
memaparkan lambang kumpulan militan terutamanya Negara Jajahan Islam
Iraq dan Syria (ISIS) serta Taliban.
Difahamkan bahawa kedai tersebut baru sahaja beroperasi kira-kira tiga bulan lalu dan barangan yang dijual di sana dipercayai telah diimport dari negara Indonesia.
Barangan seperti sticker bercorak ISIS turut dijual pada harga RM5 sehingga RM10 manakala T-shirt ISIS pada harga RM59.
T-shirt yang tertulis ‘Mujahideen Cyberspace’ dan ‘We Declared War Against The Zionists’ juga ditawarkan kepada pelanggan dan mendapat permintaan yang tinggi.
“Barangan itu mendapat permintaan tinggi dan perniagaan semakin baik
sejak dibuka tiga bulan lalu.
"Ramai bertanya tidakkah kami bimbang
menjalankan perniagaan selepas diberikan persepsi negatif namun saya
diberi jaminan oleh abang saya yang perniagaan ini dijalankan atas nama
Allah dan tiada apa yang perlu ditakutkan,” komen peniaga itu. - Kedahnews.com