Adik Ainaa Amanda Dah Ada Tangan Bionik! Tahniah Dikkk...

Alhamdulillah....
Siapa sangka video luahan sedih anak Pendang, Kedah, adik Ainaa Amanda Shahzali, yang diejek oleh rakan-rakan kerana kecacatan tangan menerusi laman sosial telah ditakdirkan mengubah hidupnya dalam sekelip mata.

Bukan sahaja mendapat sokongan moral daripada rakyat Malaysia dan masyarakat lua negara, malah Ainaa Amanda turut mendapat liputan meluas media tempatan selain dijemput muncul dalam beberapa program televisyen.

Adik Ainaa Amanda Shahzali ketika muncul dalam program MHI di TV3. Kredit foto: Facebook Ainaa Amanda Shahzali.

Rezeki kanak-kanak ini ternyata tidak terhenti di situ, apabila dia turut menerima sumbangan dua tangan bionik daripada ahli perniagaan, Sujana Mohd Rejab, 47, dan juga syarikat Pebblereka.

Menerusi akaun Facebook, ibunya, Habibah Hassan berkata anaknya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan tangan bionik tersebut dan dia sendiri akan melatihnya sehingga Ainaa Amanda selesa menggunakannya.

Tahniah kami ucapkan kepada adik Ainaa Amanda dan Kedahnews.com harapkan semoga kisah adik ini menjadi contoh kepada insan lain yang kurang upaya supaya lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan.


Syabas juga kepada ibunya atas pengorbanan, kasih sayang, kesabaran serta sifat keibuan yang ditonjolkan, dan didoakan agar nilai-nilai murni tersebut dapat dicontohi oleh ibu-ibu yang senasib dengannya.

Ingatlah, di sebalik pandangan sinis dan ejekan yang mungkin pernah kita  terima, mungkin ada beribu-ribu lagi rakyat Malaysia yang prihatin dan sayang kepada kita..kan? Teruskan minda positif itu... - Kedahnews.com