Ahli Parlimen PKR Tidak Yakin Anwar Lepas?

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul seolah tidak yakin Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terlepas dari hukuman penjara atas sabitan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Memetik kenyataan Johari dalam sebuah portal yang dikaitkan dengan parti politik pembangkang, dia mengatakan bahawa siri jelajah "Rakyat Hakim Negara" menjelang keputusan rayuan kes Liwat II mungkin peluang terakhir penyokong bertemu ketua pembangkang tersebut.

“Tempat yang saya sebutkan ini akan menjadi tempat rakyat jumpa dengan Anwar, mungkin untuk kali terakhir bagi satu masa yang panjang jika beliau dihantar lima atau enam tahun (ke penjara).

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, siri jelajah yang dianjurkan mulai hujung bulan ini  akan diadakan di 10 lokasi berasingan di mana ia akan memberi penerangan kepada rakyat berhubung isu semasa.

Menariknya, walaupun Mahkamah Persekutuan belum mengumumkan keputusan kes berkenaan, Johari awal-awal lagi membuat "hukuman sendiri" dengan mengatakan sistem kehakiman di Malaysia tidak adil sekiranya memutuskan Anwar bersalah dalam kes berkenaan.

“Saya menggesa semua rakyat Malaysia, sama ada ahli parti atau bukan ahli, beri perhatian apa yang berlaku pada 10 Februari, kerana jika Anwar dihantar ke penjara, keadilan tidak ditegakkan,” katanya yang dipetik dari portal berkenaan.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya yang diadakan sempena kempen "Rakyat Hakim Negara" yang akan bermula di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu ini.

Meskipun hakikatnya kes berkenaan merupakan sebuah kes jenayah di antara Anwar dan Saiful Bukhari, namun ia tetap dipolitikkan sekaligus menjadikan sistem kehakiman negara dan Kerajaan Malaysia untuk dikaitkan sebagai "mangsa" bagi dipersalahkan.

 Anwar sebelum itu telah dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Pada 7 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, namun dilepaskan dengan jaminan RM10,000.

Anwar mengemukakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan kesalahan tersebut dan prosiding telah pun berlangsung dari 28 Oktober sehingga 4 November tahun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau juga sebelum ini dalam kes Liwat I pernah disahkan mahkamah melakukan aktiviti seksual yang sama dengan beberapa individu termasuk bekas pemandu dan adik angkatnya, namun terpaksa dilepaskan ekoran percanggahan teknikal yang dilapor berkenaan masa kejadian. -Kedahnews.com