Al-Fatihah: Pelajar Tingkatan Satu Maut Digilis Lori


IPOH – Seorang pelajar tingkatan satu maut digilis lori selepas motosikal yang dibonceng bersama bapanya bergesel dengan kenderaan berat itu di Jalan Jelapang – Chemor di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Ahmad Mustaqim Mohamad Daud, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jati dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dijemput bapanya, Mohamad Daud Dahalan, 52.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, lori bermuatan arang batu itu dalam perjalanan ke Khantan Baru bergesel dengan motosikal yang ditunggang dua beranak terbabit.

Menurutnya, akibat pergeselan itu, motosikal yang ditunggang bapa mangsa hilang kawalan lalu kedua-duanya terjatuh atas jalan raya menyebabkan kepala mangsa digilis lori berkenaan dan maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua beranak terbabit dalam perjalanan menuju ke rumah mereka di Meru Perdana. Bapa mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan serius di kepala,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 36 tahun diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sinar Harian