Minuman Tenaga |
SEKARANG ini penjualan minuman tenaga sering mendapat perhatian di
pasaran kerana keberkesanannya memberi tenaga tambahan di kala badan
keletihan dan lesu menjalani aktiviti seharian.
Namun awas, baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah
memberi amaran, penjualan minuman tenaga mengandungi gula dan kafein
sewajarnya dihentikan kerana produk tersebut boleh mengundang bahaya
kepada kesihatan kanak-kanak, golongan remaja dan belia.
Menerusi kajian dijalankan badan tersebut, antara penyakit yang
berisiko dihadapi akibat pengambilan kafein secara berlebihan adalah
peningkatan kadar denyutan jantung, sawan dan kematian selain
meningkatkan risiko menghidap diabetes tahap dua.
Selain itu, kajian mendapati pengambilan minuman tenaga yang
berlebihan boleh mendatangkan masalah kemurungan dan ketagihan kepada
penggemarnya.
“Kesan menyeluruh ke atas peningkatan jumlah pengambilan
minuman tenaga masih belum dikumpulkan, tetapi pemasaran secara agresif
penjualan produk berkenaan dalam kalangan golongan muda tanpa pemantauan
dan larangan boleh mengundang masalah kepada kesihatan umum pada masa
akan datang,” kata Dr. Joao Breda yang mengetuai pasukan penyelidikan
tersebut.
Justeru, pihaknya menggesa pihak bertanggungjawab mengenakan larangan
penjualan minuman bertenaga kepada kanak-kanak dan golongan berusia
bawah 18 tahun bagi mencegah sebarang komplikasi di kemudian hari.
Sehubungan itu, beberapa negara Eropah termasuk Denmark dan Turki
telah mengharamkan penjualan produk minuman tenaga, manakala negara
seperti Sweden menetapkan hanya pembeli berusia 15 tahun ke atas boleh
menggunakan produk tersebut.
Sumber: Mynewshub.cc