Baru-baru ini negara benar-benar kecoh dengan insiden beberapa gadis bertudung yang tergamak membiarkan diri dipeluk dan dicium oleh sebuah kumpulan artis lelaki K-Pop dari Korea sehingga mencetus pelbagai reaksi di seluruh negara.
Bukan sekadar dinasihat dan diminta bertaubat, gadis-gadis berkenaan turut mendapat kecaman dan dikutuk semahunya atas ketaksuban mereka kepada artis-artis lelaki warga Korea tersebut.
Ekoran itu, tercetus persoalan demi persoalan untuk mengatasi masalah sosial di kalangan gadis remaja Islam di Malaysia supaya tidak taksub dan bersikap terlampau seterusnya hanyut di dalam industri hiburanyang tidak berlandaskan moral agama serta adab ketimuran.
Antara adab dan peraturan yang perlu diberi perhatian ialah seperti nyanyian yang mempunyai lirik atau senikata yang baik.
Dalam ertikata lain, ia tidak membawa kepada antiagama, keruntuhan akhlak dan sebagainya.
Sekiranya lirik lagu mengajak kepada antiagama, seks bebas, minum arak, cinta tanpa peduli halal haram dan sebagainya, maka jelaslah lirik lagu berkenaan adalah bertentangan dengan syariah yang ditetapkan Islam.
Dalam memelihara pergaulan, Islam menetapkan supaya lelaki dan wanita tidak terkinja-kinja, terhegeh-hegeh hingga hilang kesopanan, rasa malu, berpelukan berlainan jantina, melampaui batas hukum dan sebagainya.
Selain itu, dunia hiburan menurut Islam perlu bersifat tidak melalaikan sehingga mengabaikan kewajipan agama seperti solat fardu atau hilang kewarasan dalam pergaulan.
Oleh itu, masa menikmati hiburan juga hendaklah dijaga dengan baik.
Jika hiburan tersebut mampu menyebabkan kita tidak dapat menunaikan kewajipan agama seperti solat fardu, berbuat baik kepada ibu bapa, membantu orang yang memerlukan bantuan dan sebagainya maka hiburan tersebut juga dianggap bertentangan dengan syariah Islam.
Paling penting, meskipun berhibur, umat Islam wajib menjaga pakaian agar menutup aurat dengan baik dan mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak.
Paling penting, meskipun berhibur, umat Islam wajib menjaga pakaian agar menutup aurat dengan baik dan mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak.
Selain itu, bentuk hiburan berkenaan juga tidak mempromosi atau membawa budaya yang bertentangan dengan Islam dan sekiranya hiburan itu mendorong kepada maksiat, maka hiburan itu juga bertentangan dengan Islam. -Kedahnews.com