BUKAN sekali dua kali kita dengar tentang kes kecurian yang berlaku di rumah ibadah seperti di surau dan masjid.
Tempat suci seumpama ini pun, ada yang tergamak menjadikannya ‘port’ untuk melakukan perbuatan terkutuk lagi hina.
Pengalaman beberapa wanita yang telah menjadi mangsa beg tangan
dicuri ketika sedang bersolat di sebuah surau di pusat beli-belah
terkenal di Kuala Lumpur ini, elok dijadikan iktibar agar kita lebih
waspada.
Dakwa mangsa, suspek dikatakan mengenakan jubah dan berpurdah hingga sukar untuk mengecam wajahnya.
Tambah memilukan, bukan telefon bimbit, beg dan wang tunai di
dalamnya sahaja lesap malah duit dalam akaun bank juga dikeluarkan oleh
pencuri tersebut yang entah bagaimana, boleh pandai pula mencari cara.
Kejahatan si pencuri tak berakhir di situ apabila dia dikesan turut
menghubungi keluarga mangsa meminta wang tebusan dengan mendakwa anak
mereka telah diculik.
Kawan-kawan mangsa pula, turut menerima pesanan mesej daripada
telefon bimbit milik mangsa yang dicuri, meminta supaya dipinjamkan wang
sebanyak RM500.
Pencuri dianggap licik apabila tudung mangsa-mangsanya diambil dan
cuma satu ditinggalkan agar mangsa tidak dapat keluar dalam masa segera
sebaik menyedari kejadian kecurian untuk mencari dirinya.
Semoga kisah ini menjadi peringatan kepada wanita muslimah di luar
sana agar lebih peka dan hati-hati menjaga barangan peribadi meskipun
ketika berada dalam rumah Allah.
Maklumlah rambut manusia sahaja sama hitamnya tapi hati lain-lain.
Kadang-kadang demi mengikut hawa nafsu sikit perasaan gentar pada Allah Taala pun dah tak ada!
Sumber: Mynewshub.cc