Awie Diperintah Bayar RM5000, Hilang Hak Jaga Sementara Anak

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengetepikan perintah hak jagaan sementara anak yang diberikan kepada Awie pada Julai 2014 ke atas ketiga-tiga orang cahaya matanya hasil perkongsian hidup dengan Rozana Misbun, semalam.

Keputusan tersebut diputuskan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain, setelah membenarkan permohonan isterinya untuk mengetepikan perintah tersebut.

Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, turut diperintahkan membayar kos RM5000.

Dalam penghakimannya, Mohd Amran berkata, mahkamah berpuas hati bahawa secara keseluruhannya Awie tidak tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta sijil nikah yang dikemukakan untuk mendapat jagaan didapati tidak wujud dan tidak didaftar.

Berdasarkan dua fakta tersebut, semua kes yang berkaitan termasuk hak jagaan anak adalah terbatal.

Mengimbas kembali kes tersebut, pada 21 Julai tahun lalu, Awie berjaya mendapatkan hak penjagaan sementara terhadap ketiga-tiga anaknya hasil perkahwinan dengan Rozana, 37.

Pada 8 Ogos pula, Rozana yang diwakili peguam Jamal Lokman Mohd Sulaiman menfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan tersebut.

Ketika ditemubual media selepas prosiding, Awie berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut bagi memastikan kebajikan anak-anaknya terjaga.

"Sekarang anak-anak masih di bawah jagaan saya," kata Awie.