Mungkin ada sesentengah orang mempercayai
mitos kononnya kucing memiliki sembilan nyawa sekali gus mendedahkan
keajaiban usia haiwan mamalia ini mampu hidup lebih lama meskipun
mengalami pelbagai detik cemas.
Itulah yang berlaku di Tampa, Florida dekat sini apabila seekor
kucing jantan bernama Bart dipercayai pulang semula ke rumah tuannya,
Ellis Hutson, 52, selepas lima hari dikebumikan di kubur haiwan
tempatan, lapor stesen televisyen Fox13.
Asalnya kucing berwarna hitam putih itu dijumpai tuannya di tepi
jalan raya dalam keadaan berlumuran darah akibat dilanggar kereta lebih
seminggu lalu, malah menderita trauma di kepala, patah rahang dan
sebelah matanya pula hancur.
Ellis segera membawa Bart ke sebuah klinik haiwan berhampiran, namun
doktor veterinar yang merawat kucing tersebut mendakwa, mamalia itu
gagal diselamatkan dan terus mengisytiharkan Bart sebagai sudah pun
meninggal dunia.
Sedih dengan kematian kucing kesayangannya itu, dia menanam Bart di
sebuah tanah perkuburan haiwan peliharaan penduduk tetapi pada masa sama
naluri lelaki itu yakin, mamalia itu akan keluar dari kubur jika
umurnya masih panjang.
Jangkaan Ellis memang tepat, kucing yang dibelanya sejak kecil lagi
itu tiba-tiba muncul di rumahnya dan hanya merengek manja meminta
sedikit makanan kerana mungkin berasa terlalu lapar akibat terpaksa
berjalan kaki agak jauh.
Petugas di Pusat Komuniti Kemanusiaan Tampa Bay yang kini merawat
Bart buat sementara waktu mendakwa, kucing tersebut kemungkinan berjaya
mengais tanah yang menutup tubuhnya sebelum lolos keluar dari dalam
kubur.
Bart dipercayai telah bersembunyi selama beberapa hari di rumah jiran
kerana ada laporan mendakwa, kucing itu dilihat merayau-rayau sebelum
menguatkan semangat dirinya untuk balik semula ke kediaman Ellis. –
Agensi