KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Pahang kembali serius apabila jumlah
mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan negeri itu meningkat pagi
ini manakala di Perak, keadaan banjir kian pulih apabila jumlah mangsa
yang dipindahkan terus berkurangan.
Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen
negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Temerloh meningkat kepada 981
orang berbanding 939 orang malam tadi.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus berkurangan sebanyak 1,948 orang
daripada 538 keluarga pagi ini berbanding 1,952 orang daripada 540
keluarga malam tadi.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata jumlah mangsa
banjir di Perak Tengah turun kepada 1,628 orang manakala di daerah
Hilir Perak kekal sebanyak 210, Manjung (76), Hulu Perak (34).
Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 11 pusat pemindahan banjir.
Bagaimanapun, keadaan banjir di JOHOR masih tidak berubah dengan 18
orang melibatkan empat keluarga masih berada dua pusat pemindahan di
Segamat, pagi ini.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, sehingga 8 pagi,
13 orang berada di Balai raya Kampung Batu Badak, Mukim Gemereh manakala
lima lagi di Balai raya Kampung Spang Loi, Mukim Buloh Kasap.
Di KELANTAN, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata
jumlah keseluruhan mangsa banjir masih tidak berubah berbanding semalam
dengan sebanyak 1,525 daripada 368 keluarga berada di 22 pusat
pemindahan.
Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan Machang sebanyak 30 orang
manakala jumlah mangsa banjir di Kuala Krai kekal 988, Gua Musang (414
orang) dan Tanah Merah (93 orang). – BERNAMA